Home Politik ‘Ayah saya cakap boss sebenarnya adalah rakyat’

‘Ayah saya cakap boss sebenarnya adalah rakyat’

Mohd Nizar Najib
Anak bekas Perdana Menteri, Datuk Mohd Nizar Najib berucap pada Ceramah Kelompok di Pasar Malam Tasik Kesuma, Semenyih, Selangor. foto IQBAL BASRI, 28 FEBRUARI 2019

SEMENYIH – Pengundi Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih digesa menterjemahkan kebimbangan mereka terhadap kegagalan Kerajaan Pakatan Harapan (PH) menunaikan janji dalam bentuk undi.

Anak bekas Perdana Menteri, Datuk Mohd. Nizar Najib berkata, walaupun momentum sokongan saat-saat akhir dilihat memberi kelebihan kepada BN namun ia bukan penentuan.

“Pada masa ini, aura di Semenyih ini lebih kepada BN, rata-rata rakyat yang saya temui, ramai kecewa dengan Kerajaan Persekutuan yang telah buat pelbagai janji manis tapi tidak ditunaikan.

“Susulan dengan kemenangan BN di Cameron Highlands, kami berharap momentum ini dapat diteruskan di Semenyih,” katanya kepada Malaysia Gazette di Bandar Tasik Kesuma hari ini.

Mohd Nizar Najib
Anak bekas Perdana Menteri, Datuk Mohd Nizar Najib meluangkan masa melawat Siti Faizah Sheikh Othman yang juga pengundi DUN Semenyih menghidap kanser usus di Bandar Tasik Kesuma, Semenyih, Selangor. foto IQBAL BASRI, 28 FEBRUARI 2019

Mohd. Nizar yang juga Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Pekan berkata, hanya BN sahaja menghargai dan mengangkat rakyat sebagai bos melalui pelbagai inisiatif dan program kebajikan rakyat terlaksana semasa pentadbiran lalu.

“Saya berfikir kita mesti lihat siapa bos, Kerajaan Pakatan Harapan bos atau rakyat Malaysia yang bos, sebenarnya rakyatlah bos.

“Kebetulan bossku trending sekarang, tapi ayahanda saya sudah jelaskan bahawa bos ini adalah rakyat. Apa sahaja kerajaan BN buat sebelum ini adalah untuk kesejahteraan rakyat. Berbeza dengan kerajaan sekarang.

“Malangnya mereka hanya pandai menjanjikan bulan dan bintang tapi gagal tunaikan kepada rakyat,” katanya lagi. – MalaysiaGazette