SEMENYIH – Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu mendedahkan pembinaan dua kem tentera oleh kerajaan Barisan Nasional (BN) sebelum ini didapati bukan keperluan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
Menurut beliau, pembinaan itu dibuat atas perintah pemimpin BN terdahulu bagi memindahkan pengundi ke kawasan itu atas dasar kepentingan politik mereka.
Perkara itu didedahkan Mohamad setelah meneliti laporan daripada Pengerusi Jawatankuasa Tadbir Urus, Perolehan dan Kewangan, Tan Sri Ambrin Buang.
“Dalam laporan itu, didapati pembinaan kem tentera terutamanya di Hutan Melintang dan Paloh di Johor bukan atas kehendak ATM tetapi kehendak pemimpin politik.
“Maka pakatan dibuat dengan SPR (Suruhanjaya Pilihan Raya) untuk memindahkan pengundi ke Hutan Melintang, kawasan itu berada di bawah Bagan Datuk.
“Dipindahkan pengundi walaupun tandatangan projek belum dibuat. Dipaksa untuk buat kem Paloh yang terletak di Sembrong, Johor,” katanya dalam siri kempen Pakatan Harapan (PH) di Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih malam tadi.
Beliau juga mengaitkan kawasan Hutan Melintang dengan kawasan Parlimen Bagan Datuk yang mana ahli parlimennya, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.
Hadir sama beberapa pemimpin kanan PH antaranya dua Timbalan Presiden PH, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Lim Guan Eng.
Antara lain Naib Timbalan Presiden PH, Datuk Seri Mukhriz Mahathir dan Datuk Seri Azmin Ali, Ketua Pemuda PH, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dan calon PH, Muhammad Aiman Zainali.
Mengulas lanjut, Presiden Parti Amanah Negara (Amanah) itu turut berkata, Kementerian Pertahanan telah membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
“Sama ada ia rasuah atau salah guna kuasa, itu bukan saya yang akan tentukan, yang akan tentukan adalah SPRM,” kata Ahli Parlimen Bukit Raja itu lagi.
Pada Jun lalu, Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad melantik bekas Ketua Audit Negara bagi mengetuai Jawatankuasa Tadbir Urus, Perolehan dan Kewangan untuk meneliti dan menyiasat isu-isu tadbir urus, perolehan dan kewangan negara.
Untuk rekod, Kementerian Pertahanan pernah dipegang oleh Ahmad Zahid yang juga bekas Timbalan Perdana Menteri sejakĀ tahun 2009 sehingga tahun 2013.
Ahmad Zahid kemudiannya diganti oleh Datuk Seri Hishamuddin Tun Hussein daripada 2013 sehingga 2018. -MalaysiaGazette