CYBERJAYA – Tiada sebarang paksaan ke atas Gamuda Berhad dalam proses pengambilalihan empat lebuh raya yang dikuasi firma itu, kata Menteri Kewangan, Lim Guan Eng.
Beliau berkata, rundingan antara kerajaan dan syarikat konsesi itu berlangsung dengan baik dan dilakukan secara profesional.
Empat lebuh raya yang dikuasi Gamuda adalah Damansara Puchong (LDP), Sistem Penyuraian Trafik KL Barat (SPRINT), Lebuhraya Shah Alam (KESAS) dan Terowong SMART.
Baru-baru ini Gamuda Berhad mengesahkan sedang dalam proses rundingan dengan kerajaan berhubung pengambilalihan empat syarikat konsesinya akan memastikan sebarang pengambilalihan selari dengan amalan dan norma-norma penilaian pasaran.
Dalam notis kepada Bursa Malaysia, Gamuda berkata, lembaga pengarahnya mempunyai tanggungjawab fidusiari untuk memberikan nilai yang adil dan munasabah kepada semua pemegang saham.
Sementara itu ditanya mengenai pemansuhan tol-tol lain, Guan Eng berkata, kerajaan memerlukan tempoh dua atau tiga bulan untuk melakukan kajian berhubung cadangan tersebut.
Katanya, kerajaan boleh berunding dalam masa yang singkat dengan pihak lebuh raya kendalian Gamuda Berhad berhubung empat tol itu yang terletak di ibu negara ekoran ia merupakan konsesi yang sama.
Menurut, perbincangan mengenai perkara tersebut akan dilakukan oleh Menteri Kerja Raya, Baru Bian.
“Tol lain dalam kajian untuk kita lihat impaknya dalam pelbagai segi, jadi kita berharap boleh dapat rumusan dalam dua ke tiga bulan lagi.
“Ia berlainan dengan tol di bawah Gamuda, mereka mengendalikan tol di empat lebuh raya.
“Jadi kita dapat berunding secara berprinsip dan tidak terlalu sukar untuk kerajaan mengambil alih,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan majlis sambutan Hari Hasil ke-23, di Ibu Pejabat Lembaga Kasil Dalam Negeri (LHDN) di sini, hari ini.
Empat tol kendalian Gamuda akan dihapuskan di luar waktu puncak antara 11 malam hingga 5 pagi.
Caj kesesakan dicadang dikenakan kepada pengguna pada waktu puncak manakala diskaun 30 peratus daripada kadar biasa tol pula ditawarkan kepada pengguna waktu biasa. — MalaysiaGazette