Home Nasional Itu duit saya, saya yang bantu Maika Holdings – Vell Paari

Itu duit saya, saya yang bantu Maika Holdings – Vell Paari

Vell Paari

KUALA LUMPUR – Dakwaan berlakunya penyewelengan sehingga mencecah angka berjuta-juta ringgit sebelum penutupan Maika Holdings Berhad pada tahun 2009 oleh Sarawak Report  tidak benar.

Bekas Ketua Pegawai Eksekutif Maika Holdings, Datuk Seri S. Vell Paari berkata demikian menafikan tuduhan terdapat jutaan ringgit telah dipindahkan kepada syarikat miliknya ketika ia masih beroperasi.

Menurut beliau, ketika dilantik menerajui Maika Holdings, syarikat itu sebenarnya sedang melalui fasa kewangan cukup teruk.

Keadaan itu , kata Vell Paari menyebabkannya mengeluarkan wangnya sendiri untuk membiayai kos kewangan syarikat itu daripada masa ke semasa.

“Saya yang membayar kos kewangan dan keperluan lain dari masa ke semasa dan apabila syarikat mempunyai wang, mereka akan memulangkan wang kembali kepada saya atau ke dalam akauan saya. Itu yang sebetulnya.

“Malah ketika menutup syarikat, ia masih lagi berhutang sejumlah wang yang telah saya pinjamkan sebagai pendahuluan ketika diperlukan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Semalam, Sarawak Report membuat pendedahan mendakwa wang berkaitan dipindahkan kepada syarikat berkaitan Vell Paari dalam bentuk tunai dan bayaran lain antara tahun 2003 hingga tahun 2009.

Sarawak Report juga mendakwa, pihaknya telah mendapat maklumat itu melalui dokumen berkaitan pembubaran Maika yang didakwa merujuk kepada bukti berlaku salah laku dan salah guna dana syarikat ketika pembubarannya.

Maika Holding yang telah diasaskan oleh bekas Presiden MIC yang juga bapa kepada Vell Paari, Tun S. Samy Vellu pada sekitar tahun 1983 dan ia merupakan sebuah syarikat pelaburan bagi membantu komuniti India khasnya golongan miskin.

Ia sebelum itu mengumpulkan pelaburan RM100 juta daripada masyarakat India yang kebanyakannya daripada golongan kelas bawah dan pertengahan.

Bagaimanapun, dakwaan salah tadbir dikatakan menyebabkan kerugian sehingga ramai pelabur tidak mendapat pulangan.

Jelas Vell Paari lagi, urusan yang mengaitkan syarikat permotoran Australia OKA Motor Company Limited itu juga telah mendapat kelulusan daripada Lembaga Pengarah terlebih dahulu bagi tujuan pelaburan.

Selain daripada itu, Vell Paari turut mendedahkan sebelum artikel Sarawak Report itu keluar , beliau telah diperas ugut oleh individu tertentu.

“Saya tidak mahu dedah siapa yang cuba lakukan pemerasan itu, saya telah diminta sejumlah wang sebanyak RM3.5 juta namun saya tidak mengendahkan ugutan itu.

“Ketika itu saya telah di hubungi oleh dua orang dan salah seorangnya telah meminta jumlah tersebut.

“Saya kira itu adalah mengapa artikel itu dikeluarkan semalam kerana pemerasan itu juga tentang kandungan artikel semalam.

“Saya telah serahkan perkara kepada pihak berwajib, biar mereka lakukan siasatan, individu yang telah memeras saya itu akan saya dedahkan kepada pihak polis. Saya tidak berniat untuk bercakap dengan panjang lebar lagi dan membiarkan pihak terbabit berterusan menyerang saya.

“Artikel itu tidak berasas dan penuh skandal sahaja yang sebenarnya berniat untuk melakukan serangan terhadap saya,” tegasnya. –MalaysiaGazette