Home Utama Pengundi puji SPR, kad maklumat pengundian memudahkan

Pengundi puji SPR, kad maklumat pengundian memudahkan

Penurunan sokongan pengundi Cina daripada 90 peratus kepada 70 peratus dalam Pilihan Raya Kecil Tanjung Piai mungkin menyebabkan Pakatan Harapan (PH) kehilangan kerusi Parlimen itu.

SEMENYIH – Kad maklumat pengundian yang diperkenalkan julung kali oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) di Pilihan Raya Kecil Kecil Dewan Undangan Negeri Semenyih hari ini mendapat sambutan positif pengundi.

Batumalai Poongavanam 63, pengundi dari Bandar Rinching Semenyih yang mengalami kesukaran berjalan akibat strok selesai mengundi di SMK Engku Husain Kampung Baru pagi tadi

Beliau gembira kerana tidak perlu membuang masa menunggu lama menyemak butiran daftar undi serta saluran di kaunter.

“Kali pertama SPR hantar kad undi ke rumah dan dalam itu nama penuh nombor kad pengenalan nombor saluran undi dan masa mengundi semuanya lengkap.

“Anak menantu saya juga menegaskan senang untuk saya yang kena strok dan sukar berjalan boleh undi di saluran tanpa berbaris di kaunter dan semak maklumat dengan adanya kad undi SPR.

“Kaedah ini sangat berkesan dan syabas untuk SPR kerana memberikan kemudahan undi yang begitu efisien untuk golongan tua seperti saya,” katanya kepada MalaysiaGazette di SMK Engku Husain pagi tadi.

kumara1
Batumalai Poongavanam pengundi dari Bandar Rinching Semenyih yang mengalami kesukaran berjalan akibat strok selesai mengundi di SMK Engku Husain Kampung Baru pagi tadi.

Beliau berkata, kad pengundi berkenaan mengandungi maklumat pengundian, iaitu pusat mengundi, saluran, bilangan dan masa mengundi.

Katanya, pengundi yang menerima kad itu tidak perlu lagi membuat semakan di barung SPR kerana maklumat yang diperlukan sudah dinyatakan dalam kad berkenaan.

Manakala menurut guru sekolah menengah dari Shah Alam, Asvini Dayarajoo berkata sistem kad pengundi SPR sangat berkesan dan menjimatkan masa mengundi.

kumara
Ahsha Dayarajoo selesai mengundi di PDM SMK Engku Husain.

“Memang kami sedia maklum mengenai inisiatif baharu SPR ini memperkenalkan kad pengundi kerana sistem ini tidak dilaksanakan pada beberapa pilihan Raya sebelum ini.

“Kali ini saya lebih selesa mengundi kali ini tanpa berbaris panjang dan di saluran lima hanya beberapa saat sahaja saya selesai undi kerana semua maklumat mengenai nombor saluran dan masa mengundi sudah ada dalam kad itu,”katanya.

Katanya sistem ini seharusnya dilaksanakan dari dulu lagi tapi masih belum terlambat untuk dilaksanakan.

Selain beliau adiknya Ahsha Dayarajoo dan ibunya juga mengundi di PDM SMK Engku Husain sekitar 8.30 pagi tadi.

Pengundi sekitar Kampung Baharu Semenyih memilih untuk keluar mengundi di awal pagi sebelum cuaca panas menjelang tengahari ini.

Suasana di pekarangan sekolah berkenaan juga sesak dan pergerakan kenderaan perlahan ekoran hari mengundi bagaimanapun keadaan terkawal tanpa sebarang kejadian tidak diingini.

Anggota polis juga mengawal proses mengundi di SMK Engku Husain yang mempunyai lima saluran mengundi dengan jumlah pengundi berdaftar seramai 2,326 orang yang akan melaksanakan tanggungjawab demokrasi mereka.

Bagi memudahkan pergerakan pengundi kemudahan dua buggy dan juga tiga kerusi roda disediakan untuk pengundi berusia warga emas dan yang memerlukan.

Para petugas SPR juga berjaga jaga dan komited dalam menyediakan segala maklumat serta bimbingan sehingga mereka selesai mengundi dan beredar selamat dari pusat mengundi itu.

PRK di DUN Semenyih yang diadakan selepas penyandangnya Bakhtiar Mohd Nor ,57, meninggal dunia akibat serangan jantung pada 11 Januari lalu menyaksikan pertandingan empat penjuru.

Calon-calon yang bertanding adalah Muhammad Aiman Zainali (PH), Zakaria Hanafi (BN), Nik Aziz Afiq Abdul (PSM) dan Kuan Chee Heng (Bebas). – MalaysiaGazette