Home Politik MCA sudah minta BN adakan mesyuarat

MCA sudah minta BN adakan mesyuarat

Wee Ka Siong ketika berucap di majlis sambutan ulang tahun MCA ke-70 di Kuala Lumpur.

KUALA LUMPUR – MCA sudah meminta Majlis Tertinggi Barisan Nasional (BN) untuk mengadakan mesyuarat bagi membincangkan masa depan parti itu bersama parti komponen dalam BN.

Presiden MCA, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong berkata, Jawatankuasa Pusat telah mengeluarkan surat selepas Mesyuarat Agung Tahunan 12 Disember lalu.

“Kita berharap Majlis Tertinggi BN akan memanggil mesyuarat tidak lama lagi.

“Apa pun keputusannya, kita percaya sejak gabungan itu diwujudkan oleh parti-parti komponen, masa depannya juga perlu diputuskan oleh parti-parti komponen,” katanya pada majlis sambutan ulang tahun ke-70 parti itu.

MCA pada Mesyuarat Agungnya akhir tahun lalu mahu BN dibubarkan dan mewujudkan perikatan yang baharu.

Dalam ucapannya, Ka Siong berkata, sudah sampai masanya mengucapkan selamat tinggal tinggal dan bersama dengan MCA 2.0.

MCA 2.0 bukan sekadar berdepan dengan cabaran-cabaran baharu tetapi untuk mencapai tahap yang lebih tinggi.

“MCA 2.0 mesti mengatasi MCA 1.0 untuk menjadikan MCA lebih baik,” ujarnya.

Dalam majlis itu, Ka Siong mengingatkan ahli-ahli parti tentang peranan MCA sejak tiga dekad lalu termasuk dalam pembinaan negara dan memperjuangkan hak dan kebajikan rakyat.

“Kita terlibat dalam melakukan draf Perlembagaan dan sistem politik, mengukuhkan asas negara, ekonomi dan kebajikan sosial, menggariskan arah pembangunan dan mewujudkan persekitaran harmoni bagi semua kaum.

“Tahun lalu, Malaysia mengalami perubahan pertama dalam kerajaan sejak merdeka dan fasa baharu dalam sejarah negara.

“Dengan landskap politik baharu, kita kini berdepan dengan landskap politik yang sungguh berbeza,” tambah beliau.

Wee berkata bahawa MCA tidak pernah gagal untuk bersama dalam proses pembangunan negara dan tidak akan melarikan diri dari cabaran yang berlaku sebelum ini.

“Bagi MCA untuk kembali ke arus perdana politik, kita perlu menjadi parti politik yang dimahukan oleh semua kaum, ini bukan sesuatu yang dapat dicapai dalam masa yang singkat,” katanya yang turut mengumumkan Kabinet Bayangan yang akan memantau kerajaan dan kementerian.

Kabinet Bayangan itu terdiri daripada Hal Ehwal Kebangsaan dan Pertahanan; Perkembangan ekonomi; Infrastruktur dan Pembangunan Asas; Kerajaan Tempatan; dan Perkembangan Bandar dan Luar Bandar; Pendidikan dan Pembangunan Modal Insan; Kesihatan dan Alam Sekitar; Telekomunikasi dan Multimedia; Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat; Keharmonian antara etnik dan Belia dan Sukan.

“Kami akan memantau pentadbiran setiap kementerian dan prestasi mereka. Kita percaya ini adalah syarat asas untuk menjadi parti pembangkang yang bertanggungjawab,” katanya. – MalaysiaGazette