Home Nasional Dr Mahathir setuju VOA di laksanakan di Langkawi – MOTAC

Dr Mahathir setuju VOA di laksanakan di Langkawi – MOTAC

Permandangan senja di Royal Langkawi Yacht Club lokasi Kejuaraan Regatta Antarabangsa Diraja Langkawi (RLIR) Ke-17 bermula 7 hingga 12 Januari di Royal Langkawi Yacht Club, Langkawi. foto SYAFIQ AMBAK, 07 JANUARI 2019

LANGKAWI – Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad secara dasarnya telah bersetuju Visa Ketibaan (VOA) dilaksanakan di Langkawi, kata Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Mohamaddin Ketapi.

Beliau berkata persetujuan tersebut dicapai di dalam pertemuan antara beliau dengan Dr Mahathir yang juga Anggota Parlimen Langkawi baru-baru ini.

“Saya telah berbincang dengan Dr Mahathir berkenaan VOA ini untuk diadakan di Langkawi, beliau telah bersetuju dengan cadangan tersebut. Selepas ini saya akan tulis surat pula kepada Menteri Dalam Negeri Tan Sri Muhyiddin Yassin (berkenaan cadangan tersebut),” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Pelancaran Tabung Khas Pelancongan SFT3 di sini hari ini.

Turut hadir, Timbalan Ketua Setiausaha (Pelancongan) Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MoTAC) Datuk Haslina Abdul Hamid.

Sementara itu, Haslina berkata MoTAC telah mengadakan beberapa siri perbincangan bersama Kementerian Dalam Negeri berhubung cadangan mengadakan VOA di Langkawi.

“Dalam perbincangan tersebut kita telah kemukakan cadangan pelaksanaan VOA ini, perkembangan perbincangan itu sangat positif dan VOA itu dalam perancangan seperti yang dikatakan oleh Menteri tadi,” katanya.

— BERNAMA