JOHOR BAHRU – Waqaf An-Nur Corporation Berhad (WANCorp) hari ini menjelaskan pembatalan majlis ceramah perdana oleh pendakwah bebas terkenal, Ustaz Kazim Elias dan PU Rahmat Ikhsan Sofyan di Dataran Kampung Parit Tengah, dekat Batu Pahat, malam tadi, dibuat selaras dengan peraturan syarikat itu yang tidak mahu dilibatkan dengan unsur politik dalam aktiviti anjurannya.
WANCorp dalam kenyataan di sini berkata pembatalan ceramah itu dibuat selepas berlaku penularan poster ceramah itu yang mengaitkan penganjurannya dengan parti-parti politik tertentu sedangkan WANCorp adalah sebuah badan dan institusi berteraskan Islam untuk kebajikan sosial masyarakat.
“WANCorp turut menafikan pembatalan majlis ceramah agama itu adalah atas arahan kerajaan negeri Johor.
“Sehubungan itu, WANCorp merakamkan permohonan maaf kepada masyarakat setempat atas kesulitan yang berlaku susulan pembatalan ceramah itu,” kata kenyataan itu.
Pada masa sama, WANCorp akan meneruskan siri ceramah Ustaz Kazim seperti yang dijadual tertakluk kepada peraturan dan garis panduan tertentu selaras dengan peranan institusi itu untuk terus menyebarkan manfaat kepada masyarakat.
Ceramah perdana itu dikata dibatalkan pada saat-saat akhir setelah hadirin tiba.
— BERNAMA
ARTIKEL BERKAITAN:
Ceramah Ustaz Kazim, PU Rahmat dibatalkan saat akhir