Home Seni Hidup Along maafkan bekas isteri, tak halang lawat anak

Along maafkan bekas isteri, tak halang lawat anak

KUALA LUMPUR – Tiga tahun berpisah, namun pelawak Along Cham dan bekas isteri Zila Saeron tidak bermusuh.

Bahkan kata Along, dia tidak pernah memisahkan kasih sayang anak tunggkal mereka Ahmad Danial dengan ibunya.

Zila tambahnya tidak dihalang untuk bertemu dengan Daniel yang kini dalam jagaan Along atau Muhammad Nizamudin Ahmad, 36.

“Saya dah lama maafkan dia dan di dalam hati ini pun tidak ada dendam langsung. Apatah lagi, dia ibu kepada anak saya.

“Syurga anak saya tetap di bawah tapak kaki ibunya. Jadi, kasih di antara anak dan ibu takkan terputus,” kata ketika ditemui di majlis pelancaran filem Tiada Tajuk yang akan ditayangkan 4 April nanti.

Along mendapat hak penjagaan kekal Ahmad Daniel anak tunggalnya dengan Zila selepas sah bercerai talak satu pada 29 Ogos 2016.

Perkara mustahak buat Along kini tambahnya adalah pendidikan akademi dan agama anaknya.

“Sekarang fokus saya memang untuk berikan pendidikan yang terbaik untuk dia. Saya mahu dia dapat bimbingan seimbang baik dari segi akademik dan juga agama.

“Sekarang Daniel bersekolah di sebuah madrasah di Johor dan kalau boleh saya memang tak nak dia tahu mengenai kisah silam saya dan bekas isteri, tetapi tengoklah sampai bila boleh sorok, lambat-laun dia pasti tahu juga,” tambahnya.

Tidak menjadikan kisah rumah tangganya yang lalu sebagai pengakhiran hidup, Along dalam pada itu mengaku kini rapat dengan seorang wanita.

Anak tunggalnya juga menerima teman rapatnya itu.

“Anak saya boleh terima (pasangan baharu), cuma saya yang perlukan masa untuk yakin dengan diri sendiri supaya dapat jadi ketua keluarga yang baik.

“Bagi saya apa yang berlaku dulu (penceraian) tetap ada hikmahnya daripada Allah SWT dan saya pun tak sepenuhnya meletakkan salah pada dia seorang.

“Apa yang berlaku itu kerana kelemahan saya sebagai suami dia ketika itu dan ia kekurangan daripada kami berdua dalam perhubungan,”jelasnya. – MalaysiaGazette