Home Nasional Sultan Selangor kecewa perbuatan menghina Nabi Muhammad

Sultan Selangor kecewa perbuatan menghina Nabi Muhammad

Sultan Sharafuddin Idris Shah
Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah

SHAH ALAM – Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah menitahkan penyiasatan terperinci dilakukan ke atas mereka yang disyaki terlibat dalam perbuatan menghina Islam dan Nabi Muhammad.

Baginda turut menitah pihak berkuasa seperti polis dan Jabatan Peguam Negara mengambil langkah berkesan dan efektif bagi menangani masalah itu daripada terus berlaku.

Menurut Setiausaha Dewan di-Raja Selangor, Hanafisah Jais, baginda melahirkan rasa kecewa dengan perbuatan itu oleh segelintir golongan bukan Islam sejak kebelakangan ini.

Katanya, perbuatan menghina Rasulullah dan isu yang mencemar kesucian agama Islam telah kerap kali berlaku dan telah sampai ke tahap mencabar kesabaran umat Islam.

“Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor setelah berbincang dengan Ahli-Ahli Dewan di-raja Selangor hari ini, melahirkan rasa kekecewaan dengan perbuatan menghina keperibadian junjungan besar Rasulullah oleh segelintir golongan bukan Islam sejak kebelakangan ini.

“Agama Islam yang merupakan agama Persekutuan seperti termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan seharusnya perlu sentiasa dihormati oleh setiap rakyat di negara ini,” katanya dalam kenyataan kepada media, hari ini.

Menurut Hanafisah, walaupun perbuatan penghinaan terhadap Rasulullah dan agama Islam merupakan kesalahan di bawah undang-undang dan tindakan serta hukuman juga telah dikenakan terhadap mereka yang melakukannya, namun masih tetap berlaku dan seolah tiada kesan terhadap tindakan undang-undang yang diambil terhadap mereka.

Katanya, bagi membendung gejala penghinaan itu agar tidak terus berlaku tanpa kawalan, Tuanku Sultan Selangor mengingatkan kepada rakyat, terutama yang bukan beragama Islam agar menghentikan perbuatan mempersendakan keperibadian Rasulullah dan mencemar kesucian agama Islam.

“Perbuatan itu bukan sahaja mengugat keharmonian dan perpaduan rakyat, malah boleh menyebabkan rusuhan antara kaum dan agama yang akan mengakibatkan permusuhan berpanjangan antara kaum di negara ini,” katanya.

Beliau berkata, sejarah telah menunjukkan sesebuah negara boleh menjadi porak peranda sekiranya rakyat bermusuhan atas sebab tidak menghormati agama yang dianuti oleh pelbagai kaum.

“Sebagai raja yang merupakan Ketua Agama Islam Selangor, baginda menegaskan, memelihara maruah agama Islam serta maruah junjungan Rasulullah adalah tuntutan utama dalam Maqasid Syariah dan menjadi tanggungjawab umat Islam untuk sentiasa mempertahankannya.

“Oleh itu, peringatan baginda ini perlu diambil serius oleh rakyat keseluruhannya terutama golongan bukan Islam jika inginkan keharmonian dan perpaduan di kalangan kaum dan agama di negara ini terus kekal,” katanya.

Kata Hanafisah, peringatan oleh Tuanku Sultan Selangor ini bukan sekadar untuk golongan bukan Islam sahaja, tetapi termasuk juga kepada umat Islam.

Umat Islam sendiri pun, kata beliau, perlu sentiasa berwaspada dalam melontarkan sebarang pandangan berkaitan agama lain.

“Malah, Allah melarang keras umatnya mencerca sembahan agama lain kerana ia antara penyebab kepada berlakunya ketidakharmonian hidup dalam masyarakat.

“Islam adalah agama yang amat mementingkan keharmonian dalam kehidupan bermasyarakat,” katanya.

Ahli-Ahli Dewan di-Raja Selangor menjunjung segala titah Tuanku Sultan dan turut merasa tertekan dengan kekecewaan yang dilahirkan oleh baginda berkaitan isu penghinaan terhadap Rasulullah dan agama Islam. – MalaysiaGazette