Home Nasional Tanam buluh, kenapa peneroka sakit hati? – Teresa

Tanam buluh, kenapa peneroka sakit hati? – Teresa

Teresa Kok
Teresa Kok. foto FAREEZ FADZIL, 04 MAC 2019

KUALA LUMPUR – Teresa Kok mempersoalkan tindakan pekebun kecil yang sakit hati dengan cadangan kementeriannya agar mereka itu tidak hanya bergantung kepada tanaman kelapa sawit semata-mata.

Mempertahankan cadangan itu, Menteri Industri Utama itu berkata, tanaman alternatif seperti buluh, nanas dan kelapa adalah seiring dengan saranan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad sebelum ini agar pekebun tidak hanya bergantung kepada satu jenis tanaman sahaja. 

“Kenapa mereka rasa sakit hati kerana kenyataan yang saya buat itu bukan sahaja daripada saya kerana Perdana Menteri sendiri pernah menyatakan pandangannya terhadap kita tidak patut bergantung hanya kepada satu jenis tanaman sahaja.

“Jadi, saya tak faham kenapa mereka kecil hati,” katanya.

Teresa baru-baru ini berkata, kerajaan berhasrat untuk melihat pekebun mempunyai lebih daripada satu tanaman sebagai punca pendapatan bagi melawan sentimen anti kelapa sawit di Eropah.

Justeru beliau antara lain menggesa pekebun menanam buluh bagi menambah pendapatan bagi menghadapi kesan negatif sentimen itu ke atas eksport minyak sawit negara ke pasaran dunia, selain memfokuskan kepada tanaman kelapa sawit.

Teresa berkata, buluh, nanas dan kelapa adalah antara cadangan tanaman alternatif kepada pekebun yang hanya bergantung pada tanaman kelapa sawit sebagai sumber pendapatan sebelum ini.

Oleh itu wujud peneroka yang memberi respon negatif terhadap cadangan Ahli Parlimen Seputeh itu dan menyifatkannya seolah-olah pemimpin DAP itu ‘mempermainkan’ peneroka dan pekebun kelapa sawit  bukan membantu mereka mengatasi masalah mereka.

Mengulas lanjut, Teresa menganggap ia tidak sepatutnya menjadi isu dan dalam masa yang sama berkata laporan media tertentu mengenainya tidak tepat.

“Sebenarnya, saya pun tak faham kenapa ini dijadikan satu isu kerana bila saya dalam sidang akhbar saya sebenarnya kata pekebun kecil yang tidak untung khususnya pada tahun lepas kerana harga minyak sawit amat rendah mereka amat susah payah.

“Saya tidak faham kenapa ini jadi satu isu hanya kerana tajuk laporan yang disiarkan dalam Utusan Malaysia membawa satu mesej yang kurang tepat daripada kenyataan,” katanya lagi.-MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Teresa perjelas isu tanam buluh