Home Politik Ronnie diberi amaran berhenti keluar kenyataan berbaur perkauman

Ronnie diberi amaran berhenti keluar kenyataan berbaur perkauman

Kevin Shawn Gomez
Kevin Shawn Gomez

KUALA LUMPUR – Pemuda Amanah Nasional meminta Ahli Jawatankuasa Eksekutif DAP, Ronnie Liu menyemak semula aspirasi dan ikrar janji Pakatan Harapan yang ditandatangani bersama pimpin tertinggi Pakatan Harapan (PH) berhubung mempertahankan Perlembagaan Persekutuan.

Naib Ketuanya, Kevin Shawn Gomez berkata, mengikut ikrar janji PH itu, dipersetujui bersama bahawa Islam sebagai agama bagi Persekutuan dan agama lain boleh diamalkan dengan aman dan harmonis di negara ini sejajar dengan Perkara 3.

Sehubungan itu, katanya, Pemuda Amanah kesal dan kecewa apabila Ronnie membuat kenyataan seolah mengingatkan PH agar tidak menjadi lebih Melayu atau dengan kata lain cuba menjadi lebih UMNO daripada UMNO.

“Kita memandang serius kenyataan Ronnie ini dan dia seperti tidak peka bahawa hidup ini bukan berkitar dalam ruang lingkungan politik sahaja.

“Rakyat Malaysia sudah mula mual dengan tindak-tanduk ahli politik seperti beliau yang cuba mempolitikkan segala benda tanpa menghiraukan rakyat yang semakin tertekan dengan bebanan kos sara hidup yang semakin meningkat,” katanya dalam kenyataan kepada media, hari ini.

Semalam, Ronnie yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Pelek mengingatkan PH agar tidak menjadi lebih Melayu berikutan kekalahan mereka pada Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Semenyih, Sabtu lalu.

Menurut Kevin, apa guna menjadi ahli politik jika sekadar ingin mengadu domba dan menyemai api kebencian antara kaum.

Beliau turut mengingatkan pemimpin DAP itu agar menghargai usaha aktivis dan jentera PH yang bertugas tanpa mengenal erti penat lelah dalam cubaan meyakinkan rakyat bahawa parti itu adalah pembela nasib semua kaum.

“Ronnie juga harus berterima kasih kepada aktivis yang berusaha ‘memutihkan’ imej DAP di kalangan masyarakat Melayu.

“Belajarlah dari Lim Kit Siang, Ong Kian Ming dan Yeo Bee Yin bagaimana mereka mendekati dan menyantuni masyarakat pelbagai kaum, sesungguhnya ‘role model’ yang ‘master class’ ini berada dalam parti dia sendiri,” katanya. – MalaysiaGazette