LONDON – Alex Sanchez disahkan mengalami kecederaan lutut yang menyebabkan dia bakal direhatkan sehingga dua bulan.
Doktor skuad kebangsaan Chile, Pedro Onate yang mengesahkan perkembangan itu memberitahu, proses imbasan terhadap Sanchez mendapati dia mengalami masalah di bahagian ligamen.
Katanya, lutut penyerang Manchester United itu memerlukan tempoh pemulihan antara enam hingga lapan minggu.
Namun Onate menegaskan, Sanchez tidak mempunyai masalah untuk Sanchez beraksi dalam Copa America.
“Sanchez mungkin dapat beraksi lebih awal kerana kejohanan itu tidak akan berlangsung dalam masa terdekat.
“Kecederaan pada ligamen lutut memang mengambil masa agak lama namun ia tidak begitu rumit,” katanya memetik laporan SkySports.
Sanchez mengalami kecederaan lutut ketika United menewaskan Southampton 3-2 pada Sabtu lalu.
Dia terpaksa dikeluarkan selepas menerima terjahan benteng The Saints, Jan Bednarek pada awal separuh masa kedua dan pihak perubatan The Red Devils masih belum memberikan sebarang perkembangan.
Musim ini, Sanchez hanya tampil lapan kali dalam kesebelasan utama di pentas liga dan menjaringkan satu gol.
United akan beraksi tanpa Sanchez apabila mereka bertandang ke Paris Saint-Germain pada awal pagi Khamis untuk aksi kedua pusingan 16 Liga Juara-Juara Eropah.
Lebih memberi tekanan, mereka membawa harapan untuk memadamkan kelebihan 2-0 yang diraih lawan dalam aksi sebelum ini. – MalaysiaGazette