Home Nasional Tanggungjawab kaji Indeks Kos Sara Hidup diserah kepada agensi

Tanggungjawab kaji Indeks Kos Sara Hidup diserah kepada agensi

Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail. foto FAREEZ FADZIL.

KUALA LUMPUR – Cadangan kerajaan untuk memperkenalkan indeks kos sara hidup sedang diperhalusi dan tanggungjawab tersebut telah diserahkan kepada agensi-agensi yang berkaitan termasuk Jabatan Statistik.

Menurut Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehawal Pengguna, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, indeks tersebut lebih tepat dalam menggambarkan taraf hidup rakyat berbanding Indeks Harga Pengguna (IHP) yang digunakan ketika ini.

“Semalam, boleh dikatakan peringkat lampias minda di mana Menteri Kewangan, saya dan Ketua Pengarah Jabatan Statistik berbincang mengenai idea ini.

“Usaha-usaha untuk mewujudkan indeks kos sara hidup ini memang telah pun dimulakan,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang 2018 di sini hari ini.

Saifuddin bagaimanapun tidak mendedahkan jangkaan indeks kos sara hidup itu akan dilaksanakan.

Dalam perkembangan berbeza, Saifuddin yang juga merupakan Setiausaha Agung PKR menegaskan, semua pihak perlu menghormati konsesus yang dicapai oleh Pakatan Harapan di dalam menentukan kedudukan Tun Dr. Mahathir Mohamad sebagai Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail sebagai timbalannya dan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri kelapan.

“PH adalah sebuah pakatan politik yang berpegang kepada keputusan yang telah kita persetujui bersama. Itu pucuk pangkalnya.

“Jadi, PH perlulah menghormati (konsesus berkenaan),” katanya ketika menjawab gesaan pihak yang mahukan Anwar dilantik segera bagi menggantikan Dr. Mahathir.

Semalam, Ahli dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Uban, Kumaresan Aramugam menggesa supaya Presiden PKR itu diangkat sebagai Perdana Menteri secepat mungkin susulan kekalahan dua kali berturut-turut PH dalam pilihanraya kecil baru-baru ini.

Mengikut konsesus PH sebelum pilihanraya umum ke-14 yang lalu, Anwar akan dilantik sebagai Perdana Menteri kelapan menggantikan Dr. Mahathir selepas dua tahun. – MalaysiaGazette