KUALA LUMPUR – Kerajaan dituntut untuk menjelaskan ke mana perginya penjimatan sebanyak 50 sen daripada subsidi minyak kelapa sawit disalurkan.
Kerajaan memberikan subsidi sebanyak 60 sen bagi membolehkan harga minyak masak paket 1 kilogram dijual pada harga RM2.50, sejak pentadbiran Barisan Nasional.
Menggunakan perkiraan mudah, harga minyak masak sawit sekurang-kurangnya turun 15 peratus berdasarkan harga semasa sawit mentah dunia.
Harga minyak masak bersubsidi adalah RM2.50/1kg ketika harganya RM 3.30/1kg dengan subsidi kerajaan sebanyak 80 sen.
Ketua Dewan Pemuda Ikatan, Shahir Adnan berkata, sekiranya perkiraan subsidi sama digunapakai berdasarkan kenyataan Teresa, ini bermakna harga minyak masak hari ini sepatutnya turun kepada RM 2.80/1kg.
“Subsidi kerajaan juga sebenarnya berkurang kepada hanya 30 sen. Ke manakah penjimatan 50 sen itu disalurkan?,” soal kepada Teresa Kok selaku Menteri Industri Utama.
Tegasnya, dalam keadaan semasa kehidupan petani diibarat sudah ditimpa tangga akibat terkesan dengan kejatuhan harga kelapa sawit.
Berdasarkan fakta semasa, harga minyak kelapa sawit pada hari ini adalah RM 2,149 bagi setiap tan metrik dan jika dibandingkan setahun yang lepas, pada minggu pertama bulan Mac 2018, harga minyak sawit adalah RM 2,463.
Ini menunjukkan penurunan sebanyak 15 peratus harga minyak sawit secara keseluruhan berbanding setahun yang lalu.
Bahkan, Belanjawan 2019 menyaksikan subsidi kepada petani telah dipotong sehingga 50 peratus.
Malah ada subsidi yang dihapuskan tetapi pada masa yang sama, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) mengumumkan kerajaan tiada perancangan untuk menurunkan harga minyak masak.
Beliau menambah, sehingga hari ini, Teresa masih belum ada pelan yang jelas untuk memulihkan harga kelapa sawit yang merudum.
Shahir meminta Menteri Industri Utama lebih realistik dalam melaksanakan pelan yang dapat melonjakkan semula harga kelapa sawit berbanding memberi cadangan peralihan kepada tanaman buluh.
Beliau mempersoalkan adakah kementerian itu sudah mendapatkan pendapat pakar-pakar sawit dan petani yang lebih dekat dengan perusahaan sawit itu sendiri atau kajian mengenai tanah sawit.
Tambah beliau lagi, menteri berkenaan juga perlu peka bagaimanakah pengeluar sawit di rantau ini boleh bertahan dan mampu menaikkan eksport sawit ke luar negara. – MalaysiaGazette