Home Nasional Kerajaan bantu usahawan muda kembang ‘soft skill’

Kerajaan bantu usahawan muda kembang ‘soft skill’

Datuk Seri Mohd. Redzuan Yusof
Menteri Pembangunan Usahawan, Datuk Seri Mohd. Redzuan Yusof berucap pada Forum Hari Usahwan Malaysia ASEAN di Mahkota Hall, SME Corp, Platinum Sentral, Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 05 MAC 2019

KUALA LUMPUR – Kementerian Pembangunan Usahawan akan membantu usahawan muda dalam membangunkan kemahiran insaniah (soft skill) agar kebolehpasaran produk mereka mampu dikomersialkan.

Menterinya, Datuk Seri Mohd Redzuan Yusof berkata, kerajaan juga akan menjadikan ‘soft skill’ usahawan muda itu sebagai satu industri baharu yang mampu bersaing di peringkat dunia.

“Hari ini ramai usahawan muda, mereka menggunakan soft skill, itu kepakaran mereka. Kita mahu membangunkan kepakaran itu lebih jauh dari segi kapasiti, kualiti, supaya mereka boleh diterima di seluruh dunia.

“Kita perlu untuk merangsang dengan mencipta industri yang kita nyatakan dalam dasar Kementerian Pembangunan Usahawan, fokus dan sasaran kita.

“Kita mahu galakkan usahawan muda maju ke depan dengan idea mereka. Lebih ramai mereka datang, lebih banyak peluang idea mereka boleh dikomersialkan,” katanya pada sidang media selepas melancarkan Forum Hari Keusahawanan Malaysia-ASEAN 2019 di SME Corporation Malaysia (SME Corp), Platinum Sentral, hari ini.

Hadir sama, Ketua Setiausaha Kementerian Pembangunan Usahawan, Datuk Wan Suraya Wan Mohd Radzi dan Ketua Pegawai Eksekutif SME Corp, Noor Azmi Mat Said.

MGF05032019_HARI USAHAWAN MALAYSIA ASEAN02
Menteri Pembangunan Usahawan, Datuk Seri Mohd. Redzuan Yusof berucap pada Forum Hari Usahwan Malaysia ASEAN di Mahkota Hall, SME Corp, Platinum Sentral, Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 05 MAC 2019

Mohd Redzuan juga berkata, ramai usahawan muda yang menggunakan ‘soft skill’ sudah mengharumkan nama negara di luar negara malah diiktiraf oleh badan teknologi angkasa lepas di Amerika Syarikat.

“Kita ada cerita kejayaan oleh usahawan muda Malaysia, kita ada usahawan muda kita dalam industri ‘blockchain’ di peringkat dunia

“Kita ada usahawan muda kita di Sepanyol buat satelit, kita ada usahawan muda di Houston yang membantu saintis Pentadbiran Angkasa dan Aeronautik Negara (NASA) di beberapa unit pembangunan teknologi di sana,” katanya. – MalaysiaGazette