KUALA LUMPUR – Pakatan Harapan (PH) digesa agar tidak bergerak berasingan dalam pelbagai aspek bagi mencerminkan mereka mampu untuk menggantikan Barisan Nasional (BN), kata Datuk Seri Mukhriz Mahathir.
Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) berkata, perpecahan dalaman yang berlaku dalam parti-parti pembangkang dilihat punca rakyat menolak pembangkang sebelum ini.
“Kalau rakyat nampak kita bergerak berasingan maka mereka tidak akan nampak kita ini sebagai satu gabungan yang mantap.
“Kita mula kena fikir sebagai satu gabungan sekarang ini tidak sebab ada pelbagai warna (dalam PH) jadi dalam proses untuk kita membuat manifesto yang satu dan logo yang satu.
“Saya harap akan tiba satu masa nanti kita tidak kira daripada parti mana pakai satu warna sahaja,” katanya majlis pelancaran PPBM bahagian Titiwangsa dan bicara Timbalan Presiden di ibu negara malam tadi.
Mukhriz juga melihat BN sebagai satu contoh yang perlu diikuti oleh PH kerana pakatan itu mampu untuk menggabungkan pelbagai parti dalam satu gabungan dan mendapat kepercayaan rakyat.
“Hari ini dalam konteks politik dalam negara ini tidak ada satu parti yang boleh menang dengan sendiri. Mesti ada perkongsian kuasa dan bentuk perkongsian kuasa itu sangat penting. Kita tengok BN pun terdiri daripada 13 parti walaupun diketuai oleh UMNO.
“Dia (BN) satu gabungan yang kohesif dan gabungan yang sangat mantap,” katanya lagi.
PPBM semalam sah diangkat sebagai ahli baharu dalam PH apabila diterima secara sebulat suara dalam Majlis Presiden PH. -MalaysiaGazette.