KUALA LUMPUR – Timbalan Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, hasil yang dicapai dalam perbincangan Jawatankuasa Induk UMNO dan Pas hari ini adalah keputusan bersama.
Katanya, Pas dan UMNO bersetuju untuk bekerjasama atas semangat saling hormat menghormati dasar dan polisi parti masing-masing.
“Kita cuba cari titik persamaan penyatuan ummah ini di Malaysia,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan bersama perbincangan Jawatankuasa Induk UMNO dan Pas di Menara Dato’ Onn di sini hari ini.
Ditanya, kenapa Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang tidak mempengerusikan perbincangan jawatankuasa itu, Tuan Ibrahim berkata, presidennya telah memberi mandat kepadanya dan pimpinan tertinggi Pas untuk hadir pada perbincangan itu.
“Kita terima mandat presiden parti, tidak timbul dia (Abdul Hadi) hadir atau tidak hadir. Keputusan ini akan dibawa ke peringkat pusat dan akar umbi,” katanya.
Menjawab soalan, beliau menyatakan kerjasama Pas dan UMNO di peringkat Pilihan Raya Kecil (PRK) Cameron Highlands dan DUN Semenyih membuktikan akar umbi parti itu dan rakyat terima dengan baik baik.
Katanya, perbincangan hari ini adalah giliran UMNO sebagai tuan rumah dan selepas ini Pas akan menjadi tuan rumah mempengerusikan perbincangan Jawatankuasa Induk akan datang. – MalaysiaGazette