NEW YORK – Goldman Sachs Group Inc memberi kelonggaran kod pakaian kepada semua pekerjanya, satu langkah tidak pernah dijangka boleh dilakukan oleh firma Wall Street yang terkenal dengan sut dan pakaian formal.
Kod pakaian baharu itu diumumkan dalam satu memo dalaman dengan mengatakan perubahan tersebut adalah disebabkan perubahan dalam cara kerja yang secara umumnya lebih memerlukan persekitaran yang lebih kasual, lapor Reuters.
Memo yang ditandatangani oleh Ketua Pegawai Eksekutifnya, David Solomon telah dihantar kepada 36,000 kakitangan bank berkenaan.
Selama ini, Goldman Sachs dikenali sebagai bank pelaburan yang mewajibkan pakaian formal namun sejak 2017, ia mula memberi kelonggaran kepada pekerja-pekerja di bahagian teknologi dan perniagaan digital untuk berpakaian kasual.
Ini menyebabkan syarikat tersebut bagaikan terbahagi kepada dua bahagian iaitu berpakaian denim dan bersut lengkap.
Sama seperti bank-bank lain di Wall Street, Goldman terpaksa bersaing untuk mendapatkan pekerja-pekerja terbaik.
Syarikat-syarikat teknologi yang lebih besar selalunya mempunyai pejabat yang relaks.
Pengumuman pada Selasa itu membuatkan dasar tradisi bank tersebut diperbaharui supaya sesuai dengan tenaga kerja mudanya. Lebih 75 peratus pekerja Goldman adalah golongan milenia atau Gen Z; yang lahir selepas 1981.
Memo berkenaan bagaimanapun tidak menyatakan secara khusus pakaian yang boleh dipakai atau tidak.
Ia juga memberi peringatan supaya para kakitangan berpakaian mengikut kesesuaian pelanggan.
“Semua tahu apa yang sesuai dan apa yang tidak untuk dipakai di tempat kerja.
“Sudah tentu pakaian kasual tidak sesuai untuk dipakai setiap hari dan setiap kali berjumpa pelanggan.
“Kami meletakkan kepercayaan kepada anda untuk membuat pertimbangan yang bersesuaian,” kata memo berkenaan. – Agensi