GEORGE TOWN – Lapan pegawai penjara dan seorang pemandu kenderaan wanita warga asing direman enam hari bagi membantu siasatan berhubung dakwaan menerima wang suapan berjumlah RM120,000.
Perintah reman itu dikeluarkan oleh Penolong Pendaftar Mahkamah Sesyen/Majistret Jenayah George Town, Muna Maria Azmi bermula hari ini hingga Isnin depan selepas membenarkan permohonan reman yang dikemukakan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) .
Kesemua individu berkenaan yang disiasat mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009 dibawa ke bilik reman di sini pada pukul 10.35 pagi dengan memakai pakaian lokap SPRM.
Semalam, kesemua pegawai penjara yang berusia antara 25 dan 44 tahun itu ditahan SPRM di sekitar Pulau Pinang, Kedah dan Pahang antara pukul 9.45 pagi dan 10.30 pagi kerana dipercayai menerima wang suapan itu daripada pemandu kereta sapu warga Indonesia itu yang berusia 45 tahun.
Pemandu tersebut dikatakan memberi wang suapan itu sebagai balasan supaya pegawai penjara tidak mengambil tindakan terhadapnya kerana membawa masuk barangan terlarang ke dalam penjara.
Sementara itu dalam kes berasingan, Muna Maria turut mengeluarkan perintah reman tiga hari terhadap dua individu bagi membantu siasatan berhubung kes bunuh seorang pengaturcara komputer warga Ireland yang ditemukan mati dalam keadaan tangan dan kakinya diikat, dipercayai dibunuh di sebuah unit kondominium di Jalan Sultan Ahmad Shah, di sini, dua hari lepas.
Dalam kejadian pada Isnin itu mayat Brian Patrick O’ Reilly, 51, ditemui oleh pihak pengurusan kondominium dalam sebuah bilik di rumah berkenaan pada kira-kira 5 petang .
Kes itu disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan. – Bernama