Home Sukan Bangga JDT beraksi di ACL – TMJ

Bangga JDT beraksi di ACL – TMJ

Foto Facebook rasmi Johor Southern Togers

KUALA LUMPUR – Tunku Ismail Sultan Ibrahim meluahkan rasa gembira dengan penampilan sulung penyandang juara Liga Super, Johor Darul Ta’zim (JDT) di pentas Liga Juara Juara Asia (ACL) bertemu kelab Jepun, Kashima Antlers semalam.

Pemilik JDT itu berkata, walaupun skuad Harimau Selatan tewas 2-1 di tangan juara bertahan berkenaan namun pencapaian yang diraih pasukan itu adalah sesuatu yang sepatutnya dibanggakan.

“Hari ini (semalam) adalah satu antara detik membanggakan dalam hidup saya. Tahniah para pemain dan tahniah kepada JDT. Keputusan yang hebat pada penampilan pertama di ACL yang juga adalah peringkat tertinggi di Asia.

“Beraksi di tempat lawan menentang juara bertahan. Saya bangga dengan anda semua. Tahniah JDT,” katanya menerusi akaun Twitter peribadinya.

Semalam, Kashima terpaksa bergelut apabila hanya mampu menang tipis ke atas ‘budak baharu,’ JDT pada aksi pembukaan Kumpulan E yang berlangsung di Stadium Kashima.

Dengan kelebihan beraksi di laman sendiri dan status sebagai juara bertahan, skuad bimbingan Go Oiwa menjadi pilihan untuk memenangi perlawanan itu namun selepas mendahului dua gol dan mensia-siakan banyak peluang gol, kebangkitan lewat permainan yang dijelmakan JDT nyaris membuatkan tuan rumah keciciran mata.

Meskipun tewas, pujian harus diberikan kepada JDT yang tidak gugup pada penampilan sulung mereka di pentas ACL apabila mereka enggan memberi laluan yang mudah kepada penyandang juara ACL itu di tempat sendiri.

Malah, ia juga mungkin memberi petanda positif kepada skuad bimbingan Benjamin Mora di mana mereka dilihat mampu memberi saingan ketika bertemu pasukan lebih berpengalaman di pentas ACL. – MalaysiaGazette