Home Nasional Ketua Menteri Pulau Pinang timbang saman Raja Petra

Ketua Menteri Pulau Pinang timbang saman Raja Petra

Chow Kon Yeow
Chow Kon Yeow
GEORGE TOWN – Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow akan mempertimbangkan untuk menyaman blogger Raja Petra Kamarudin berhubung artikel yang mendakwa beliau antara yang menerima rasuah dalam projek terowong dasar laut di negeri itu.

Beliau berkata dakwaan terhadapnya dalam artikel berhubung pelaksanaan projek itu memberi impak dan kesan yang mendalam terhadap kerjaya politiknya selama lebih tiga dekad.

“Saya berasa sedih apabila nama saya disebut, ini adalah kali pertama dalam 32 tahun kerjaya politik saya,” katanya dalam sidang media di sini hari ini.

Menurutnya, pihaknya sedang berbincang mengenai bentuk tindakan terhadap penulis blog itu, antaranya membuat laporan polis, memfailkan saman atau menunggu siasatan pihak berkuasa terhadap dakwaan tersebut.

Chow berkata demikian ketika ditanya mengenai pendedahan Raja Petra dalam portal ‘Malaysia Today’ berhubung siasatan projek terowong dasar laut bernilai RM6.3 bilion yang membabitkan Menteri Kewangan, Lim Guan Eng dan beberapa pemimpin kanan DAP.

“Setakat ini saya tidak pernah dipanggil untuk disoal siasat atau diambil kenyataan, Malah, Pengarah Eksekutif Kanan, Consortium Zenith Construction Sdn Bhd (Zenith), Datuk Zarul Ahmad Mohd Zulkifli sudah membuat kenyataan jelas mengenainya,” katanya.

Selain itu, katanya, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sudah membuat laporan polis berhubung dakwaan tersebut.

Sebelum ini, Zenith, yang bertanggungjawab membina terowong dasar laut dan tiga projek jalan raya di Pulau Pinang, menafikan ia merasuah pegawai kerajaan negeri itu seperti didakwa oleh Raja Petra.

— BERNAMA