Home Politik MIC bekerjasama dengan pihak bawa manfaat sahaja

MIC bekerjasama dengan pihak bawa manfaat sahaja

KUALA LUMPUR – Baru-baru ini MCA, MIC dan Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz saling bercakaran sehingga kedua-dua parti itu mengugut keluar Barisan Nasional (BN).

Malah, Presiden MCA, Datuk Seri Wee Ka Siong dan Presiden MIC, Tan Sri SA Vigneswaran berkata, kesahihan mesyuarat tertinggi BN lusa akan dipertikaikan kerana pelantikan Mohamed Nazri ke jawatan tersebut tidak ikut perlembagaan parti.

“Demi mengelakkan sebarang pertikaian dari segi undang-undang, MCA dan MIC hanya akan menghadiri mesyuarat dewan tertinggi BN yang sah,” kata dalam kenyataan bersama baru-baru ini.

Bagaimanapun, selepas beberapa hari akhirnya hari ini Mohamed Nazri yang juga Ahli Parlimen Padang Rengas ‘mengalah’ dengan memberi jaminan tidak akan menghadiri mesyuarat BN Jumaat ini seperti kehendak kedua-dua komponen penting.

Ketika Malaysia Gazette menghubungi Vigneswaran, beliau menyatakan bukan niat beliau untuk bertelingkah namun ada kalanya pendirian tegas seperti itu perlu bagi memastikan suara parti lain dalam BN didengari.

Malah jelas beliau, adalah sesuatu tidak ‘betul’ seandainya sentimen serta semangat setiakawan itu tidak diendahkan atau diperkotak katikan seperti sebelum-sebelum ini.

“Sebenarnya, MIC akan bekerjasama dengan mana-mana pihak yang boleh membawa faedah serta kelebihan kepada parti kita. Itu sebenarnya pendirian kita. Kita boleh jalin kerjasama dengan Pas.

“Kita juga mampu bekerja dengan UMNO, MCA. Tidak ada masalah, masing-masing ada prinsip perjuangan masing-masing tetapi seandainya kerjasama serta gabungan ini sebenarnya boleh membawa kepada kebaikan, apa salahnya. Berbilang kaum di bawah satu bumbung.

“Tidak perlu gusar atau risau sebenarnya dengan kerjasama seperti ini sehingga perlu keluarkan kenyataan-kenyataan ‘mengarut’ serta tidak membantu sebaliknya membawa kepada perpecahan sahaja. Kemudian, pihak sebelah sana tepuk tangan kegembiraan,” katanya malam tadi.

Sebelum ini, selepas mengambil tampuk kuasa sebagai Presiden MIC, antara agenda utama yang dilakukan oleh Vigneswaran adalah dengan menjalin kerjasama dengan Pas pada tahun lalu dan bertemu dengan presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Malah pertemuan serta kerjasama seumpama itu dalam sejarah MIC sebenarnya tindakan nekad bagi memastikan survival serta kelangsungan parti terbesar masyarakat India apatah lagi selepas kekalahan teruk pada PRU-14.

Pas-MIC

Jelas Vigneswaran yang juga Yang Dipertua Dewan Negara, tidak ada apa-apa yang dikuatiri dengan kerjasama khasnya dengan Pas kerana ia untuk memenangkan semua pihak dan memberi manfaat kerana saling bantu membantu.

“Sebelum ini, kami (Hadi Awang) pernah berbincang hala tuju masa depan kerjasama ini apatah lagi ada juga yang gusar apa nasib kaum lain, namun tidak ada apa yang perlu di risaukan. UMNO dan Pas boleh bergabung tapi agenda kaum lain tidak akan di abaikan begitu sahaja,” tegasnya.

MIC merupakan parti komponen ketiga terbesar BN manakala Pas pula telah bertindak keluar dari gagasan pembangkang dan bertanding sebagai parti pembangkang secara sendirian pada PRU -14.

Pas juga berjaya memenangi 18 kerusi Parlimen dengan mendapat kuasa memerintah di negeri Terengganu di samping dapat mempertahankan kuasa di Kelantan untuk sekian lama manakala MIC hanya mempunyai satu kerusi ketika ini di Tapah manakala MCA pula di Ayer Hitam. –MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

MCA, MIC boleh minta saya letak jawatan Jumaat ini – Nazri