PUTRAJAYA – Tiga individu termasuk seorang bergelar Tan Sri dijangka disambung semula reman hari ini bagi membantu siasatan berhubung pembangunan sebidang tanah dimiliki kuil Sri Mahamariamman Devasthanam di Jalan Bandar, Kuala Lumpur.
Ketiga-tiga suspek berkenaan hari ini dihadapkan ke Mahkmah Majistret di sini bagi mendengar permohonan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) itu.
Dua individu dibawa hadir ke mahkamah bagi membantu siasatan berhubung pengurusan kuil Sri Mahamariamman Devasthanam Batu Caves di Mahkamah Majistret Putrajaya, Putrajaya. foto FAREEZ FADZIL, 07 MAC 2019Terdahulu ketiga-tiga suspek dibawa dari ibu pejabat SPRM kira-kira jam 8.30 pagi dan tiba di pekarangan Istana Kehakiman Putrajaya tepat jam 9.08 pagi tadi.
Salah seorang suspek bergelar Tan Sri kelihatan dibawa masuk ke Mahkamah Majistret diiringi pihak polis dan pegawai SPRM dengan menaiki kerusi roda.
Difahamkan, ketiga tiga individu berkenaan termasuk seorang pengurusan tinggi juga bertanggungjawab menguruskan kuil Hindu di Batu Caves, Selangor.
Penahanan mereka bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 16 (a) (A) SPRM 2009 berhubung pembangunan sebidang tanah milik kuil Sri Mahamariamman Devasthanam di Jalan Bandar di ibu negara.
Sebelum ini, sepasukan pegawai penyiasat SPRM menyerbu rumah pegawai tinggi berkenaan, selain menggeledah pejabat pengurusan kuil di Batu Caves.
Ia susulan daripada gesaan daripada seorang pemimpin PKR agar SPRM menyiasat pengurusan sebuah kuil berhubung dakwaan penyelewengan dana kerajaan dan penderma.
Kuil di Jalan Bandar itu adalah yang tertua di Kuala Lumpur dan diuruskan Lembaga Pengurusan Kuil Sri Maha Mariamman Devasthanam.
Lembaga berkenaan turut menguruskan Kuil Batu Malai Sri Subramaniar di Batu Caves dan Kuil Kortumalai Vinayagar di Persiaran Maybank. – MalaysiaGazette