Home Nasional Tiada beza ‘perang’ atau ‘sasaran’, Guan Eng digesa minta maaf

Tiada beza ‘perang’ atau ‘sasaran’, Guan Eng digesa minta maaf

Lim Guan Eng

KUALA LUMPUR – Sama ada menggunakan istilah ‘perang’ atau ‘sasaran’, Lim Guan Eng didakwa telah menggunakan perkataan yang amat keras dan berbaur hasutan apabila beliau merujuk kepada golongan bukan Melayu.

Istilah itu menunjukkan betapa dangkal dan ceteknya fahaman politik Setiausaha Agung DAP yang jelas menunjukkan idea chauvisnisme masih menebal dalam kalangan pimpinan DAP.

Malah, kenyataan kontroversi Guan Eng selaku Menteri Kerajaan Persekutuan juga menggambarkan beliau tidak matang dan tidak sensitif isu rakyat Malaysia yang berbilang kaum.

Lantaran itu, Dewan Pemuda Ikatan Malaysia berpandangan Guan Eng tidak layak menganggotai Kabinet Kerajaan Persekutuan dengan mentaliti sebegitu.

Ketua Dewan Pemuda Ikatan, Shahir Adnan berkata, Guan Eng wajib meminta maaf kepada seluruh rakyat Malaysia, Melayu dan bukan Melayu.

“Bukan hanya menukar perkataan ‘perang’ kepada ‘sasaran’,” tegasnya sambil menambah rakyat tanpa mengira kaum menuntut permohonan maaf daripada Guan Eng.

“Kita tidak mahu insiden tidak harmoni berulang, seperti apa yang berlaku kepada Allahyarham Adib dek keceluparan mulut hingga menyebabkan rakyat bergaduh sesama sendiri.

“Ini tanah Malaysia yang patut kita jaga. Rakyat mahu hidup dengan aman dan sejahtera,” ujarnya.

Shahir berkata, kerjasama antara UMNO dan Pas tidak menyalahi mana-mana undang-undang negara dan Perlembagaan Persekutuan.

UMNO bersama MIC dan MCA di dalam Barisan Nasional.

Pas pula mempunyai dewan himpunan penyokong bukan Melayu di dalam parti mereka dan bersama Ikatan yang mempunyai keahlian pelbagai kaum dan bangsa di dalam Gagasan Sejahtera.

“Justeru amat tidak logik dan cetek pemikiran untuk DAP mengeluarkan kenyataan ‘perang’ kepada bukan Melayu.

Dalam pada itu, Dewan Pemuda Ikatan turut tertanya-tanya di mana perginya Menteri Perpaduan, Waytha Moorthy yang diam membisu.

“Adakah kerana Menteri-Menteri daripada Pakatan Harapan gentar untuk menegur bos mereka yang sebenar iaitu DAP,” soalnya. – MalaysiaGazette