PUTRAJAYA – Seorang individu bergelar Tan Sri dibebas dengan jaminan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung pembangunan sebidang tanah dimiliki kuil Sri Mahamariamman Devasthanam di Jalan Bandar, Kuala Lumpur.
Perintah dikeluarkan oleh Majistret Noraisyah Mohd Yusof di Mahkamah Majistret, di sini, hari ini.
Mahkamah membenarkan permohonan peguambela, Devanandan S. Subramaniam untuk mengetepikan permohonan lanjutan reman SPRM sehingga tiga hari kerana masalah kesihatan.
Tan Sri terbabit yang juga pengurusan tinggi bertanggungjawab menguruskan kuil Hindu di Batu Caves, Selangor itu juga diarahkan dibawa ke hospital dan dibebas sepenuhnya mulai jam 5 petang ini.
“Jaminan tiada apa (duit) cuma mahkamah sebut bawa beliau ke hospital segera, selepas itu dibebaskan pukul 5 petang.
“Mahkamah tolak lanjutan reman itu kerana alasan yang dikemukakan SPRM tidak munasabah.
“Kebanyakan alasan SPRM nak selesaikan siasatan, nak mencari saksi-saksi dan sebagainya.
“Hujah kami nak cari saksi apa guna tahan beliau, nak cari bahan bukti, apa guna tahan beliau,” katanya ketika ditemui di pekarangan Istana Kehakiman Putrajaya, di sini, hari ini.
Majistret Noraisyah juga membenarkan permohonan SPRM untuk menyambung tahanan reman ke atas dua individu lain dalam siasatan sama, masing-masing sehingga sehari lagi.
“Anak kepada Tan Sri dan seorang lagi pula dibenarkan sambung (reman) untuk satu hari lagi.
“Pada awalnya SPRM mohon lanjut reman selama tujuh hari ke atas dua individu terbabit, tapi ia ditolak oleh mahkamah.
“Dua orang ini dibenar sambung reman satu hari sahaja. Bermakna esok pagi SPRM ke bawa (Mahkamah Majistret) dan dilepaskan esok pagi (9 pagi),” katanya lagi.
Ketiga-tiga suspek berkenaan hari ini dihadapkan ke Mahkmah Majistret di sini bagi mendengar permohonan SPRM untuk proses lanjutan reman.
Terdahulu ketiga-tiga suspek dibawa dari ibu pejabat SPRM kira-kira jam 8.30 pagi dan tiba di pekarangan Istana Kehakiman Putrajaya tepat jam 9.08 pagi tadi.
Salah seorang suspek bergelar Tan Sri kelihatan dibawa masuk ke Mahkamah Majistret diiringi pihak polis dan pegawai SPRM dengan menaiki kerusi roda.
Penahanan mereka bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 16 (a) (A) SPRM 2009 berhubung pembangunan sebidang tanah milik kuil Sri Mahamariamman Devasthanam di Jalan Bandar di ibu negara.
Sebelum ini, sepasukan pegawai penyiasat SPRM menyerbu rumah pegawai tinggi berkenaan, selain menggeledah pejabat pengurusan kuil di Batu Caves.
Ia susulan daripada gesaan daripada seorang pemimpin PKR agar SPRM menyiasat pengurusan sebuah kuil berhubung dakwaan penyelewengan dana kerajaan dan penderma.
Kuil di Jalan Bandar itu adalah yang tertua di Kuala Lumpur dan diuruskan Lembaga Pengurusan Kuil Sri Maha Mariamman Devasthanam.
Lembaga berkenaan turut menguruskan Kuil Batu Malai Sri Subramaniar di Batu Caves dan Kuil Kortumalai Vinayagar di Persiaran Maybank. – MalaysiaGazette