KUALA LUMPUR – Suasana Enak Sdn. Bhd. (Suasana Enak) dengan kerjasama Winning Matters Sdn. Bhd. akan menganjurkan sebuah konsert dinamakan Konsert Nova yang mengabungkan penyanyi-penyanyi popular dari Malaysia dan Indonesia pada 5 Ogos ini.
Konsert Nova itu diadakan sempena sambutan ulangtahun yang ke 60 hubungan di antara Malaysia dengan Indonesia.
Hubungan dua hala yang akrab dan mesra di antara kedua buah negara telah terjalin semenjak kemerdekaan negara kita pada 31 Ogos 1957.
“Konsert yang akan berlangsung di Stadium Malawati, Shah Alam ini bakal membariskan penyanyi-penyanyi popular Indonesia seperti Judika dan Cakra Khan bersama penyanyi-penyanyi popular tempatan, Azlan Typewriter dan Dayang Nurfaizah yang tampil selaku penyanyi jemputan.
“Konsert Nova 2017 juga kana menampilkan penyanyi-penyanyi yang mempunyai kekuatan vokal bagi menarik penonton-penonton terutamanya peminat-peminat mereka untuk menikmati persembahan yang luar biasa.
“Selain dari Azlan dan Dayang, pihak penganjur akan mengundang penyanyipenyanyi popular Malaysia dan Indonesia yang lain yang akan diumumkan kemudian,” kata Suasana Enak dalam satu kenyataan kepada MalaysiaGazette.
Jelasnya penganjur lagi, bagi menjanjikan persembahan muzik berkualiti dan bertaraf tinggi, pihak penganjur akan menampilkan Aubrey Suwito selaku pengarah muzik.
“Konsert ini turut diperkuatkan oleh Ardiyilla selaku pengarah teknikal dan jurutera bunyi Zoul dari Singapura yang berpengalaman mengendalikan konsert artis Antarabangsa.
“Azlan Typewriter sendiri juga akan menyertai barisan produksi Konsert Nova ini,” katanya.
Dalam pada itu, Suasana Enak telah merancangkan pelbagai promosi dan pemasaran sepanjang bulan ini sehingga hari konsert nanti.
Di antaranya di digital platform seperti Facebook, Instagram dan laman web yang dilancarkan semalam.
Kepada penggemar muzik atau yang ingin mengetahui lebih lanjut tentang perkembangan Konsert Nova 2017 boleh ikuti Facebook & Instagram : KONSERT NOVA; website : www.konsertnova.com dan juga #konsertnova & #mykonsertnova.
Sementara itu, Winning Matters Sdn Bhd yang ditubuhkan pada 2007 telah mempunyai pengalaman menganjurkan kejohanan golf, antaranya World Amateur Inter-team Golf Championship (WAITGC).
Selain membawa pemain golf luar negara ke sini, kejohanan itu turut memberi peluang kepada pemain golf amatur tempatan bertanding di kejohanan bertaraf antarabangsa itu.
Kejohanan golf tersebut menarik peryertaan pemain-pemain golf dari Singapura, Indonesia, Thailand, Brunei, Australia, New Zealand, Filipina, Hong Kong, Jepun, India, Korea Selatan, Britain, Jerman, Belanda, Perancis, Amerika Syarikat, Kanada dan Afrika Selatan. – MalaysiaGazette