KUALA LUMPUR – Paras harga Standard Malaysia Rubber 20 (SMR20) FOB telah meningkat sebanyak 12.7 peratus dari 521.0 sen/kilogram pada 31 Disember 2018 kepada 587.0 sen/kilogram pada 7 Mac 2019 selepas pelaksanaan Skim Jumlah Eksport Yang Dipersetujui (AETS) ke-6 diumumkan.
Pelaksanaan AETS adalah pengurangan eksport getah asli (NR) selama empat bulan sebanyak 240,000 tan metrik.
Kementerian Industri Utama berkata, pelaksanaan AETS ini telah dipersetujui semasa Mesyuarat Khas Peringkat Pegawai Kanan International Tripartite Rubber Council (ITRC) yang telah diadakan pada 4 dan 5 Mac lalu di Bangkok, Thailand.
Mesyuarat ini merupakan susulan daripada keputusan yang telah dibuat oleh ketiga-tiga Menteri ITRC sewaktu Mesyuarat Khas Peringkat Menteri ITRC pada 22 Februari 2019 di Bangkok.
Secara keseluruhannya, ketiga-tiga negara bersetuju untuk melaksanakan AETS.
Malaysia akan melaksanakan AETS bermula dari 1 April 2019 hingga 31 Julai 2019 dengan jumlah eksport dihadkan kepada 357,535 metrik tan, iaitu pengurangan sebanyak 15,600 metrik tan.
“Bagi memastikan pelaksanaan AETS yang berkesan, sebuah jawatankuasa pemantauan iaitu AETS Monitoring and Surveillance Committee telah ditubuhkan dan dianggotai oleh wakil badan pelaksana setiap negara anggota
ITRC.
Program-program lain di bawah kerangka kerja ITRC seperti Skim Promosi Permintaan dan Skim Pengurusan Bekalan akan diteruskan dan ditambahbaik bagi meningkatkan penggunaan domestik NR dan mengimbangi permintaan dan penawaran NR global.
Antara program yang dijangka akan memberikan impak kepada peningkatan penggunaan NR ialah dalam pembinaan jalan raya.
Thailand, Indonesia dan Malaysia yakin kerjasama ini dapat membantu memperkukuhkan lagi harga NR untuk kesejahteraan pekebun kecil getah di rantau ini. – MalaysiaGazette