KUALA LUMPUR – UMNO tidak rugi apa-apa jika MCA dan MIC tidak lagi mahu menyertai Barisan Nasional lagi kerana komponen parti itu masih ada sokongan daripada parti-parti kecil yang lain.
Sebaliknya, MCA dan MIC yang akan rugi kerana Pakatan Harapan (PH) terutamanya DAP sudah tentu enggan menerima pemimpin-pemimpin mereka.
Penganalisis politik, Prof Dr Ramlah Adam berkata, MCA dan MIC sebenarnya tidak ada pilihan kecualilah mahu berdiri sendiri seperti Gerakan.
“Logiknya takkanlah DAP mahu mengajak MCA untuk menyertai PH dalam kedudukan parti yang tidak kuat dan tidak mendapat sokongan kaum Cina.
“Kalau pun diajak, mahukah MCA sekadar menjadi ‘budak suruhan’ sahaja. Begitu juga dengan MIC, parti itu tidak diperlukan dalam PH kerana komuniti sudah ada Parti Keadilan Rakyat,” katanya di sini.
Beliau mengulas mengenai masa depan MCA dan MIC jika bertindak keluar dari BN.
Beberapa hari lalu, MCA dan MIC memutuskan tidak mempunyai pilihan lain selain keluar daripada BN bagi meneroka satu pakatan baharu yang mencerminkan maksud sebenar perpaduan dalam kepelbagaian yang diperjuangkan parti berkenaan.
MCA dan MIC berkata, kedua-dua parti sedar komuniti yang mereka wakili telah menolak BN dan menyarankan supaya ia dibubarkan dan dirangka semula sebagai satu gabungan politik baharu yang dapat kembali kepada teras dan asas semangat serta perjuangan asal parti itu.
Tambahnya, selama ini UMNO sentiasa memberi ‘layanan’ baik termasuk memberi jawatan dalam Kabinet walaupun parti-parti ini gagal mendapat sokongan kuat semasa Pilihan Raya Umum Ke-13 yang lalu.
“Tetapi apabila BN kalah dan ada yang mahu meninggalkan BN maka terpulanglah,” ujarnya.
Bagaimanapun, Ramlah menambah, jika usaha UMNO ‘membersihkan’ semula parti itu berjaya dan kerjasamanya dengan Pas mendapat sokongan orang Melayu, BN mampu mencipta parti baharu bagi mewakili kaum-kaum lain. – MalaysiaGazette