KUALA LUMPUR – Ketua pimpinan pergerakan Wanita Barisan Nasional dan Muslimat Pas mendesak polis menyiasat Lim Guan Eng di bawah Akta Hasutan 1948 kerana menyatakan kerjasama Pas-UMNO sebagai perisytiharan perang terhadap bukan Melayu.
Ketua Wanita BN, Datuk Noraini Ahmad berkata, kenyataan Menteri Kewangan yang juga Setiausaha Agung DAP itu berbaur provokasi dan hasutan yang tidak boleh dimaafkan.
“Dia bukan sekali keluar kenyataan sebegini, sudah banyak kali buat kenyataan berbaur provokasi berkaitan kepelbagaian kaum.
“Dia sifatkan kerjsama UMNO-Pas sebagai perisytiharan perang terhadap bukan Melayu sebelum menggubah frasa berkenaan kepada mensasarkan, bagaimanapun kita merasakan perlu satu siasatan polis di bawah akta hasutan terhadap dia,” katanya dalam sidang media di hadapan Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi hari ini.
Beliau bersama Ketua Wanita MCA, Wong Sei Kee, Ketua Wanita MIC Wilayah, SV Saratha, Ketua Dewan Muslimat Pas Selangor Wan Haslina Wan Hassan dan wakil Wanita Kongres India Muslim Malaysia (KIMMA) hadir bersama lebih 40 orang penyokong wanita BN dan Pas membuat laporan secara berasingan terhadap Lim Guan Eng pada pukul 3.20 petang tadi.
Menurut Ahli Parlimen Parit Sulong itu, Wanita BN dan Muslimat Pas di seluruh negara menggerakkan jentera masing masing untuk membuat laporan polis terhadap Guan Eng.
“Apakah ini (gugat keharmonian kaum) dia hendak lihat dengan kepelbagaian kenyataan berbaur provokasi sebagai menteri dalam kerjaaan.
“Kita buat laporan polis supaya disiasat di bawah Akta Hasutan sebab tak mahu dia menggunakan jawatan dan kuasanya untuk bertindak sesuka hati mengeluarkan kenyataan provokasi,” ujarnya.
Beliau turut mempersoalkan apakah Guan Eng cemburu dan rasa tergugat dengan keharmonian yang wujud dalam BN menerusi kerjasama Pas tetapi tidak ada dalam PH.
Sementara itu, Ketua Dewan Muslimat Pas Selangor, Wan Haslina Wan Hassan pula menyifatkan Lim Guan Eng tidak mempunyai hati seorang negarawan ekoran kenyataan provokasinya.
“Dia sebagai pemimpin negara tidak seharusnya bercakap begitu kerana ia mencetuskan kemarahan kami semua dan menyakitkan hati rakyat.
“Kenapa dia perlu cakap sebegitu memandangkan semasa pemerintahan BN pun Pas, UMNO dengan komponen BN berbaik tanpa masalah.
“Apakah kerana ada kuasa dia bermulut celupar sebegini. Sepatutnya dia harus suka melihat rakyat bersatu padu, malangnya dia tidak berhati negarawan dan tak layak duduk di situ (Kabinet),” bidasnya.
Ketua Wanita MCA, Wong Sei Kee pula turut tampil dengan laporan polis ke atas Guan Eng sambil menyifatkan Guan Eng menjejaskan kewibawaannya sebagai menteri dengan sebagai menteri kanan dia mengeluarkan kenyataan berbaur menggugat keharmonian rakyat.
“Dia sebagai pemimpin berpengalaman lama tidak patut keluar kenyataan sedemikian rupa dan sudah pasti tindakannya menjejaskan kewibawaannya sebagai menteri,” katanya.
Justeru Ketua Wanita MIC bersama wakil Wanita Kongres India Muslim Malaysia (KIMMA), Hajjah Chanbee turut menyatakan rasa terkilan dengan kebiadaban Guan Eng mengeluarkan kenyataan provokasi sebegitu dan mahu siastan polis disegerakan terhadap pemimpin itu.
“Kami BN dan Pas sebagai pembangkang membuat kerja secara berprinsip dan Lim Guan Eng sepatutnya berhati hati dengan kenyataan yang porak perandakan kaum.
“Kenapa dia rasa tergugat sangat dengan kerjasama kami BN dengan Pas yang terjalin dan sejahtera sejak dahulu lagi. Adakah Guan Eng tergugat dan cemburu sebab BN menang di Cameron Highlands dan Semenyih dengan kerjasama perpaduan bersama Pas?” soal beliau.- MalaysiaGazette