Home Politik MCA tidak perlu takut dengan Pas

MCA tidak perlu takut dengan Pas

Muhammad Khalil Abdul Hadi.
Muhammad Khalil Abdul Hadi

KUALA LUMPUR – Parti komponen Barisan Nasional (BN), MCA tidak perlu jadi DAP untuk mendapatkan sokongan kaum Cina.

Sebaliknya, apa yang perlu dilakukan parti itu ialah lebih kompetitif, telus dan berdaya saing untuk menjadi pilihan utama kaum mereka.

Menurut Ketua Dewan Pemuda Pas Malaysia (DPPM), Muhammad Khalil Abdul Hadi, selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) Mei lalu, MCA perlu tahu sokongan kaum Cina terhadap DAP telah mula menurun.

“Maka boleh dikatakan DAP bukan lagi pilihan utama kaum Cina,” katanya dalam kenyataan kepada media.

Muhammad Khalil turut meminta MCA agar tidak perlu takut dengan Pas atau menjauhi parti berasaskan perjuangan Islam itu.

Katanya, Pas bukan ektremis agama dan pelampau bangsa seperti yang diungkapkan.

“Apa yang Pas perjuangkan hanyalah selaras dengan peruntukan Perlembagaan dan Undang-Undang iaitu Islam sebagai agama rasmi Persekutuan, tidak lebih dari itu.

“Selebihnya hanyalah retorik dan ciptaan musuh untuk menakutkan rakyat dan mungkin MCA kepada Pas,” katanya.

Katanya, trek rekod Pas tidak pernah memusuhi mana-mana agama, kaum dan bangsa, apatah lagi menindas.

“Sejak Pas memerintah Kelantan dan sekarang Terengganu, belum lagi Pas tindas atau anak tirikan mana-mana agama, kaum dan bangsa.

“Apa yang musuh Pas cuba gambarkan adalah tidak betul dan tidak tepat kerana usahanya adalah untuk menjauhkan Pas dari rakyat dan umum,” katanya.

Beliau menyatakan, mungkin Pas dan MCA dua parti yang berbeza pendirian dan pendapat, namun demi untuk kepentingan umum, rakyat dan negara, kemungkinan besar Pas dan MCA boleh duduk semeja dan bersetuju atas banyak perkara.

Bagi Pas, kata beliau, kepentingan umum, rakyat dan negara paling utama.

Mungkin di masa lalu, ujar Muhammad Khalil, ada sedikit salah faham dan perkhabaran tidak betul antara Pas dan MCA dilontarkan menyebabkan kerenggangan dan permusuhan.

Namun, tegasnya, tidak semestinya tidak boleh diperbaiki dan diperbetulkan demi kepentingan umum, rakyat dan negara.

Katanya, Pas membuka seluas-luasnya ruang untuk MCA berbincang dan duduk semeja di atas kepentingan umum, rakyat dan negara.

“Keadaan politik yang tidak stabil dan penuh dengan fitnah serta retorik memerlukan gabungan pembangkang yang kuat.

“Apatah lagi kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang tidak efektif dan tidak memenuhi janji manisfestonya menyebabkan rakyat mula meluat dan berpaling arah kepada pembangkang.

“Kita memerlukan kesatuan pembangkang yang kuat, efektif dan berkesan untuk memenangi semula hati rakyat pada PRU15,” ujarnya.

Beliau turut menjelaskan, pembangkang yang kuat memerlukan persefahaman, kerjasama serta kepercayaan yang utuh antara satu sama lain, lebih lagi dengan kerajaan PH yang kelam kabut umpama tikus membaiki labu.

Anak kepada Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang ini juga percaya gabungan pembangkang yang kuat akan mendapat kepercayaan rakyat, cuma yang perlu ialah kejujuran, ketelusan dan kerja kuat untuk dibuktikan serta dipersembahkan kepada rakyat.

Katanya, pembangkang tidak perlu jadi populis seperti PH, cakapnya banyak, tetapi janji pun banyak tolak ketepi.

“Nama saja kerajaan, tapi sebenarnya sikap masih lagi pembangkang.

“Saya berpendapat jika Pas, UMNO, MCA, MIC dan beberapa parti pembangkang lain dapat membentuk satu kerjasama yang erat, jitu dan kukuh, tidak mustahil kerajaan PH yang ada sekarang akan tumbang pada PRU15 akan datang.

“MCA bukan DAP, malah MCA lebih baik dari DAP. Usah biar rakyat jadi mangsa dan tertipu lagi,” katanya. – MalaysiaGazette

1 Komen

  1. ..an idiot speaking from his mind or from his heart?

    MCA/MIC cannot be a laughing stock, embracing SERPENTS & Train of Robbers to rule a country.

    .. ..let see how low they scoop while maintaining their esteem

Comments are closed.