KUALA LUMPUR – Dakwaan kononnya pusat-pusat Internet di seluruh negara akan ditutup tidak lama lagi adalah tidak benar.
Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dalam satu kenyataan hari ini menyifatkan perbuatan menularkan berita palsu oleh pihak tertentu itu sebagai serius dan tidak bertanggungjawab.
“Dakwaan sesetengah pihak baru-baru ini yang memberi gambaran bahawa pusat-pusat Internet di seluruh negara akan ditutup adalah satu tindakan tidak bertanggungjawab.
“SKMM ingin mengesahkan bahawa pusat-pusat Internet di seluruh negara tidak akan ditutup dan dakwaan ini adalah tidak benar sama sekali,” kata suruhanjaya itu lagi.
Dalam pada itu kata SKMM, dakwaan yang telah diuar-uarkan oleh Nusuara Technologies Sdn.Bhd selaku pengendalikan utama pusat-pusat Internet naungan Celcom adalah satu tindakan yang cuai.
“Kedua dua pihak ini digesa untuk memberi justifikasi serta keterangan lanjut kepada SKMM,” tegas kenyataan itu lagi.
Menurut SKMM, pusat Internet merupakan salah satu inisiatif di bawah Program Pemberian Perkhidmatan Sejagat,
“Sehingga kini terdapat sebanyak 870 Pusat Internet yang sedang beroperasi di seluruh negara.
“Antara kemudahan yang disediakan adalah perkhidmatan Internet jalur lebar berkelajuan tinggi, kursus dan latihan ICT serta e-dagang yang telah meningkatkan kemahiran masyarakat setempat sekaligus memperkasakan tahap ekonomi tempatan,” kata kenyataan itu lagi. – MalaysiaGazette