Home Ekonomi Scammer guna nama Guan Eng, MOF

Scammer guna nama Guan Eng, MOF

Lim Guan Eng

KUALA LUMPUR- Kementerian Kewangan (MOF) memberi amaran kepada orang ramai supaya berhati-hati dengan kegiatan penipuan atas talian yang menggunakan nama dan tandatangan Menteri Kewangan, Lim Guan Eng serta kementerian tersebut.

Menurut Setiausaha Akhbar kepada Menteri Kewangan, Lutfi Hakim, satu laporan polis telahpun dibuat di IPD Dang Wangi berhubung kes penipuan dan penyelewengan yang menggunakan nama Menteri Kewangan dan MOF.

Jelasnya, pihak yang tidak bertanggungjawab itu menggunakan format dokumen dan alamat surat-menyurat yang biasa digunakan dalam urusan rasmi kementerian bagi mengelirukan mangsa.

Baru-baru ini, seorang individu yang berasal dari Filipina telah menerima emel yang menggunakan alamat e mel Menteri Kewangan bersama sepucuk surat daripada MOF bertarikh 4 Mac 2019 yang kononnya ditandatangani oleh Guan Eng.

Surat tersebut mengandungi maklumat palsu yang mengatakan MOF telah memberi kuasa kepada diplomat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (United Nations) yang bernama “Bleck Dildrop” untuk mengendalikan transaksi individu tersebut.

Sebuah kotak akan dihantar kepada individu tersebut dan kotak itu hanya akan dihantar kepada beliau sekiranya bayaran berjumlah AS$30,520 dibayar kepada diplomat tersebut.

Surat tersebut mengandungi tandatangani Lim Guan Eng dalam kapasitinya sebagai Menteri Kewangan dan ahli “Government Secretariat Executive Council”.

“Kejadian ini bersama-sama dengan surat tersebut sampai kepada pengetahuan Menteri Kewangan kerana individu tersebut telah mengirim emel ke alamat emel rasmi Menteri Kewangan untuk mendapatkan pengesahan sama ada surat yang diterimanya itu adalah surat tulen yang telah dikeluarkan oleh MOF.

MOF dan YB Menteri Kewangan tidak pernah sama sekali mengeluarkan surat sedemikian dan tidak mempunyai sebarang pengetahuan mengenai kotak bayaran berjumlah AS$30,520 seperti yang dinyatakan dalam surat tersebut,” kata Lutfi dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Tambahnya, surat tersebut adalah surat yang palsu dan telah dikeluarkan untuk tujuan menipu. Perlakuan menipu dan memalsukan dokumen tersebut merupakan kesalahan di bawah pelbagai seksyen dalam Kanun Keseksaan (termasuklah Seksyen 417, 419, 426, 464, 465, 468 dan 476).

Orang ramai adalah dinasihatkan untuk mengesahkan sebarang maklumat yang berkaitan dengan MOF melalui saluran-saluran rasmi seperti yang tertera di laman web MOF di http://www.treasury.gov.my/.- MalaysiaGazette