Home Nasional Agamawan masih gagal fahamkan golongan LGBT

Agamawan masih gagal fahamkan golongan LGBT

Presiden Srikandi Malaysia, Datuk Norasyikin Abdul Ghani.
Presiden Srikandi Malaysia, Datuk Norasyikin Abdul Ghani.

KUALA LUMPUR – Ramai yang melihat perarakan Lesbian, Gay, Biseksual dan Transgender (LGBT) baru-baru ini dengan soal keberanian golongan itu bersuara.

Bagaimanapun dalam satu sudut, ia juga menunjukkan kegagalan pihak berkuasa agama memainkan peranan memberi penerangan kepada mereka.

Ini kerana golongan LGBT terutama golongan mak nyah itu masih lagi keliru, kata Presiden Pertubuhan Kebajikan Insaniah Srikandi Malaysia, Datuk Norasyikin Abd Gani.

Menurutnya, tuntutan pengiktirafan LGBT dalam perarakan sempena Hari Wanita Antarabangsa baru-baru ini berlaku kerana mereka bukan dilahirkan sebagai gender wanita sepenuhnya.

“Golongan yang mengalami kecelaruan gender tidak boleh dianggap atau menuntut orang ramai menerima mereka sebagai wanita sepenuhnya.

“Tindakan mereka menuntut hak mereka sempena Hari Wanita Antarabangsa memberi mesej bahawa bahawa mereka ‘gender wanita’.

“Pada pendapat saya, pihak perubatan, psikologi dan ilmuwan agama masih gagal menjelaskan secara bersepadu kepada golongan LGBT agar mereka faham dan menerima keadaan kecelaruan gender yang mereka alami,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Noraksyikin, LGBT tiada tempat di negara ini kerana Malaysia sudah menjelaskan penolakan budaya songsang berkenaan.

“Perbuatan laungan Hidup LGBT dan perarakan yang dilakukan hanya menjejaskan keharmonian dan menimbulkan polemik rakyat negara ini dan pihak berkuasa tanpa prejudis sewajarnya mengambil tindakan jika berlaku perlanggaran undang-undang,” katanya.

Srikandi turut menyambut baik pendirian Perdana Menteri Malaysia, Tun Dr. Mahathir Mohamad pada 21 September 2018 lalu yang jelas mengatakan Malaysia tidak boleh menerima sistem nilai yang diamalkan di negara Barat iaitu LGBT dan perkahwinan sama jenis.

“Saya menyeru agar mana-mana LGBT yang ingin berubah untuk mendapatkan rawatan pemulihan daripada pakar dan para profesional.

“Pihak kerajaan, badan-badan agama, NGO dan persatuan komuniti setempat hendaklah bersama-sama membantu usaha pemulihan dan rawatan golongan LGBT ini secara bersepadu dan berkesan, tanpa stigma dan tanpa diskriminasi,” katanya.

Dalam pada itu, Norasyikin menjelaskan sudah tiba masanya pihak kerajaan, pakar perubatan dan agama memperbetulkan definisi LGBT kepada dua kelompok iaitu Lesbian, Gay dan Biseksual (LGB) sebagai golongan hubungan sejenis dan satu kelompok lagi Transgender.

“Ini kerana ia dua isu berbeza, di mana LGB isu berkaitan moral dan seks sejenis, manakala Transgender terdiri kepada tiga kategori iaitu khunsa nyata, khunsa tidak nyata (menerusi pengesahan pakar genetik) manakala kategori ketiga adalah menukar jantina dengan sengaja.

“Dengan pembetulan sedemikian, baharulah masyarakat tidak tersalah hukum kepada golongan khunsa yang wajib dibela dan mendapat hak sama tanpa diskriminasi manakala golongan LGB dan golongan ‘khunsa palsu’ ini wajar ditentang kerana bertentangan agama dan budaya negara ini,” katanya.- MalaysiaGazette