ADDIS ABABA – Pesawat penumpang Ethiopian Airlines yang dalam penerbangan ke Nairobi terhempas ketika beberapa minit berlepas.
Insiden yang mengorbankan kesemua 157 orang penumpang itu mencetuskan persoalan tentang keselamatan pesawat Boeing 737 MAX 8 yang digunakan ketika nahas berlaku.
Pesawat itu juga menggunakan model kapal terbang yang sama dalam insiden di Indonesia pada 29 Oktober tahun lalu.
Dalam kejadian tersebut, pesawat milik Lion Air itu terhempas di perairan Indonesia dan mengorbankan 189 orang penumpang.
Kapal terbang Ethiopian Airlines itu meninggalkan lapangan terbang Bole di Addis Ababa pada pukul 8.38 pagi (0538) sebelum terputus hubungan dengan menara kawalan kira-kira pukul 8.44 pagi.
“Tiada siapa yang selamat,” menurut ciapan syarikat penerbangan itu yang turut menunjukkan Ketua Eksekutifnya, Tewolde GebreMariam memegang serpihan pesawat di lokasi kemalangan.
Tambahnya, juruterbang ada memaklumkan bahawa dia mengalami masalah dan mahu berpatah balik.
Penumpang pesawat itu terdiri daripada 33 negara termasuk Kenya, Ethiopia, Amerika, Kanadian, Perancis, China, Mesir, Sweeden, British, Belanda, India, Slovakia, Austria, Swedish, Rusia, Maghribi, Sepanyol, Poland dan Israel.
Daripada jumlah penumpang tersebut, empat bekerja dengan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.
Punca nahas masih dalam siasatan.
Seorang pegawai kerajaan Amerika Syarikat berkata, terlalu awal untuk menyatakaan kesamaan dalam nahas yang berlaku dengan kejadian di Indonesia.
Namun, isu itu akan menjadi keutamaan kepada para penyiasat.
Wartawan Reuters yang berada di tempat kejadian melaporkan badan pesawat itu berkecai dan terbakar teruk.
Barangan penumpang berserakan secara meluas di sekitar kawasan nahas. – MalaysiaGazette