Home Nasional Jangan harap Mat Sabu saja bela nasib veteran tentera

Jangan harap Mat Sabu saja bela nasib veteran tentera

Pengerusi Gerakan Reformasi Veteran Angkatan Tentera Malaysia (GRVATM), Azizan Salleh bersama sebahagian ahlinya bersorak semangat pada Himpunan Veteran Tentera di pekarangan pusat beli-belah Sogo, Kuala Lumpur. foto HAZROL ZAINAL, 11 MAC 2019.

KUALA LUMPUR – Gerakan Reformasi Veteran Angkatan Tentera Malaysia (GRVATM) mengingatkan menteri dan ahli Parlimen Pakatan Harapan (PH) agar menyuarakan permasalahan dan kebajikan mereka ke Parlimen.

Pengerusinya, Azizan Salleh menegaskan, usaha memperjuangkan nasib veteran tentera itu tidak sewajarnya dipikul oleh Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu sahaja.

“Orang politik, menteri-menteri hari ini kena semua bercakap, di Parlimen itu jangan harap abang Mat Sabu saja.

“Menteri lain juga mewakili rakyat dan veteran di kawasan masing-masing perlu bercakap soal veteran.

“Ramai ahli-ahli Parlimen tidak tahu masalah veteran,” katanya pada sidang media selepas Himpunan Veteran Tentera di pekarangan pusat beli-belah Sogo, di sini, hari ini.

Azizan juga berkata, pemimpin PH perlu memperjuangkan nasib komuniti veteran tentera walaupun sudah meninggal dunia.

MGF11032019_HIMPUNAN VETERAN TENTERA13
Pengerusi Gerakan Reformasi Veteran Angkatan Tentera Malaysia (GRVATM), Azizan Salleh bersama para veteran yang hadir bersorak semangat pada Himpunan Veteran Tentera di pekarangan pusat beli-belah Sogo, Kuala Lumpur. foto HAZROL ZAINAL, 11 MAC 2019.

“Jadi kita sama-sama beri satu sokongan yang positif ke arah melaksanakan pembaharuan kepada veteran ATM sama ada berpencen mahupun tidak, isteri Balu dan anak-anak,” katanya.

Azizan turut menggesa kerajaan merombak semula pentadbiran Jabatan Hal Ehwal Veteran (JHEV) agar bersesuaian bagi memastikan pengurusan kebajikan veteran tentera lebih berkesan.

“Ramai veteran tentera tak tahu fungsi JHEV, saya gesa supaya jabatan ini direformasikan segera.

“Di utara, ada tiga negeri iaitu Pulau Pinang, Kedah dan Perlis ada 55,000 veteran ATM, yang nak jaga mereka tiga kakitangan, dua pegawai, seorang pemandu, itu pun pinjam, dan kenderaan ada sebuah sahaja.

“Macam mana mereka nak uruskan segala permohonan sekiranya JHEV tidak mempunyai peruntukan penuh dan peralatan cukup dan segalanya,” katanya.

Katanya lagi, Azizan mencadangkan agar veteran tentera dilantik sebagai wakil JHEV untuk menguruskan bantuan kebajikan kepada golongan itu.

“Kita minta veteran-veteran tidak berpencen yang proaktif dilantik menjadi runner kepada JHEV dan dibayar elaun.

“Setiap Parlimen mereka kawal dan tentukan permasalahan veteran dan dia akan laporkan kepada JHEV,” katanya.

Azizan turut menambah, sudah masanya golongan veteran tentera tidak lagi dijadikan bahan politik demi kepentingan pihak tertentu.

“Jangan mempolitikkan veteran ATM kerana masalah lepas ia telah dipolitikkan.

“Sebab itu kita sesama veteran berlaga, sekarang nasib veteran ATM mesti dijaga tanpa mengira parti politik.

“Jangan ada lagi pemimpin politik menjadikan veteran sebagai alat kepada mana-mana politik seperti mana yang berlaku sebelum ini,” katanya lagi. – MalaysiaGazette