GEORGE TOWN – Polis menahan seorang pemandu di sebuah syarikat swasta, kerana disyaki mendera dua orang anak lelakinya yang berumur 11 dan 13 tahun sehingga mengalami kecederaan teruk.
Ketua Polis Daerah Timur Laut ACP Che Zaimani Che Awang berkata suspek lelaki berumur 53 tahun itu ditahan di tempat kerjanya di Jalan Datuk Keramat di sini berikutan satu laporan polis yang dibuat oleh seorang pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Khamis lepas.
“Menurut pegawai JKM itu kedua-dua kanak-kanak itu dibawa ke Pejabat JKM Daerah Timur Laut oleh dua orang individu yang mengesyaki mereka didera dan melarikan diri dari rumah,” katanya.
Menurutnya, kedua-dua adik-beradik itu juga mendakwa sering dipukul oleh bapa kandung mereka tanpa sebab dan kali terakhir mereka diperlakukan sebegitu ialah di antara Disember dan Januari lepas, di mana kedua-duanya lebam di bahagian mata sementara salah seorang daripada mereka retak tulang rusuk akibat dipijak.
“Tidak tahan dengan keadaan itu, kedua-dua kanak-kanak ini bertindak melarikan diri dari rumah sewaktu suspek keluar bekerja dan menumpang tidur di rumah rakan sekolah mereka di sebuah perumahan di Bukit Gambir di sini untuk hampir seminggu,” katanya.
Che Zaimani berkata kisah kedua-dua anak itu didera hanya diketahui selepas mereka tidak pergi ke sekolah seperti rakannya dan seorang pengawal keselamatan di perumahan itu telah merujuk mereka kepada JKM.
Beliau berkata kedua-dua adik-beradik ini turut mendakwa telah ditinggalkan oleh ibu mereka di bawah jagaan bapa mereka sejak kecil dan tidak pernah dibawa ke mana-mana hospital atau klinik untuk merawat kecederaan mereka.
Menurutnya kedua-dua budak berkenaan yang tidak pernah menemui ibu kandung mereka itu kini dirawat di Hospital Pulau Pinang dan kes ini disiasat di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak Kanak 2001.
— BERNAMA