KUALA LUMPUR – Mengakui kesukaran untuk membawa pulang Low Taek Jho atau Jho Low ke Malaysia, bekas Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hisammuddin Tun Hussein berkata, beliau masih konsisten untuk berbuat demikian.
Menurut beliau, sebarang maklumat berhubung ahli perniagaan yang dikaitkan dengan skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) itu akan beliau salurkan kepada Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun.
“Tidak mudah untuk kumpul maklumat mengenai Jho Low kerana melibatkan pihak ketiga dan kerajaan luar.
“Saya masih buat siasatan mengenai di mana Jho Low. Dan saya mahu dedahkan kebenarannya mengenai 1MDB.
“Saya sungguh konsisten mengenai itu dan saya akan sumbangkan khidmat saya,” katanya di lobi Parlimen hari ini.
Hishamuddin sebelum ini menawarkan diri untuk membawa pulang Jho Low bagi merungkai segala persoalan berhubung skandal 1MDB.
Tawaran itu, katanya, diberikan sekiranya kerajaan Pakatan Harapan (PH) gagal untuk mendapatkan kerjasama dengan negara ketiga khususnya China.
“Jika kerajaan PH tidak mendapat kerjasama, saya menawarkan diri dan saya berkerjasama rapat dengan pihak PDRM dan apa perkembangan saya akan beri maklumat.
“Dalam usaha menyentuh kepentingan nasional dan isu ini melibatkan kepentingan antarabangsa, dan kalau mereka rasa tidak dapat kerjasama daripada pihak ketiga apa salahnya saya cuba,” katanya.
Sejak tahun lalu, Hishamuddin berkata, beliau bersedia menggunakan jaringan hubungannya dengan China untuk mencari Jho Low ‘sehingga ke lubang cacing’.
Beliau atas kapasiti peribadi, akan berbincang dengan rakannya di China bagi memastikan kesahihan khabar angin mengenai keberadaan Jho Low di China dan sanggup ke sana untuk membawa ahli perniagaan kontroversi itu berdepan keadilan.
Untuk rekod Jho Low dikehendaki oleh pihak berkuasa Malaysia berhubung siasatan skandal 1MDB. – MalaysiaGazette