Home Nasional Kekalahan PH di Semenyih terus bergema di Dewan Rakyat

Kekalahan PH di Semenyih terus bergema di Dewan Rakyat

Perdana Menteri merangkap Ahli Parlimen Langkawi, Tun Dr. Mahathir Mohamad menjawab soalan pada Sidang Dewan Rakyat di Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL, 12 MAC 2019

KUALA LUMPUR – Kemenangan berganda oleh pembangkang dari Cameron Highlands dan terbaru Semenyih pada Pilihan Raya Kecil (PRK) baru-baru ini menyebabkan mereka menjadi lebih lantang dan vokal berbanding sebelum ini.

Selang seli kedengaran daripada barisan pembangkang menyebut tentang kemenangan di Semenyih khususnya apabila terdapat wakil rakyat Pakatan Harapan (PH) yang cuba menyindir kerajaan terdahulu.

Ada juga menyalahkan ‘ketakburan’ PH sejak menang besar pada Pilihan Raya Umum ke-14 sehingga menyebabkan rakyat menghukum mereka kembali apabila kalah di Semenyih dua minggu lepas.

Malah jika dahulu dakwaan serta tuduhan bertalu-talu berhubung skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB), kini bercerita tentang bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak sudah tidak lagi melemahkan barisan pembangkang khasnya Barisan Nasional (BN).

Mereka seolah-olah sudah ‘kebal’ dan tampak yakin, apatah lagi baru-baru terjalin kerjasama antara UMNO dan Pas selain mendapat sokongan tidak berbelah bahagi daripada parti komponen seperti MIC dan MCA.

Ketika Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir bangkit bercakap tentang agendanya membersihkan nama negara daripada rasuah selain hasrat membawa integriti Malaysia ke tahap yang lebih membanggakan, beliau sudah ditempelek dengan isu-isu seperti sijil palsu dan janji manifesto bukan kitab suci.

Ahli Parlimen Pontian (BN), Datuk Ahmad Maslan dua kali bangkit menyoal tentang integriti segelintir pemimpin PH yang menggunakan sijil akademik palsu dan apakah tindakan Perdana Menteri berhubung perkara itu.

Sejurus selepas itu, Menteri Kewangan, Lim Guan Eng pula dibidas oleh Ahli Parlimen Kinabatangan (BN), Datuk Seri Bung Mokhtar yang meminta Ahli Parlimen Bagan itu berubah sikap dan berhenti tuding jari.

Selain Bung Mokhtar, Ahli Parlimen Bintulu (BN), Datuk Seri Tiong King Sing yang jarang sekali ‘bergaduh’ turut menjerit-jerit perkataan ‘skandal banglo, manifesto, sijil palsu dan terbaru isu terowong.

Seperti biasa Guan Eng tidak melayan, sebaliknya meneruskan sahaja beliau walaupun beliau terus diusik oleh beberapa pemimpin pembangkang.

Namun ketika bercakap tentang hutang negara dan skandal 1MDB, Guan Eng menyebut ‘Bossku tidak laku’ yang kemudian diejek oleh pembangkang kembali.

Ahli Parlimen Jelutong (PH), RSN Rayer yang terkenal dengan sikap membuat kacau juga tidak lari daripada terus menjadi tumpuan apabila Bung Mokhtar bertegang urat dengan beliau seketika.

Rayer bangkit apabila Guan Eng diasak bertalu-talu namun akhirnya terduduk.

Ahli Parlimen Pasir Salak (BN), Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman juga bangun selepas sesi ditangguhkan untuk makan tengah hari sebelum menyindiri Rayer tentang isu Projek Perumahan Rakyat (PPR) Taman Manggis.

Menteri Hal Ehwal Ekonomi merangkap Ahli Parlimen Gombak, Datuk Seri Azmin Ali juga tidak terlepas apabila diusik dengan pertanyaan tentang ‘sokongan’ beliau terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim oleh Annuar Musa.

Selain itu, ada juga suara seperti Ahli Parlimen Tanjong Karang (BN), Datuk Seri Noh Omar yang bertanyakan mengapa ada kenyataan berbeza dan bercanggah antara menteri-menteri Kabinet khasnya Azmin dan Guan Eng.

“Duduk sebelah-sebelah tapi tidak ada perpaduan, malulah,” tegasnya.

Bagaimanapun, Azmin tampil membela isu tersebut dengan mengatakan pihaknya sentiasa mengadakan perbincangan kolektif serta inklusif berbanding UMNO yang lebih eksklusif kepada satu pihak sahaja.

Kali ini, rata-rata wakil rakyat PH lebih ‘tenang’ dan tidak ‘agresif’ seperti tahun lepas.

Malah Yang diPertua Dewan Rakyat, Datuk Mohamad Ariff Md. Yusof beberapa kali terpaksa meminta barisan pembangkang untuk bersabar dan jangan menganggu perjalanan Dewan dengan membangkitkan isu-isu lain. – MalaysiaGazette