KUALA LUMPUR – Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) akan memindahkan penjaja sah di kawasan lorong Tuanku Abdul Rahman (TAR) dan Lorong Gombak.
Tindakan yang sama juga dilakukan terhadap pasar malam dan bazaar ramadhan, menurut Menteri Wilayah Persekutuan Khalid Samad.
Tambahnya, kios akan dibina berdekatan kawasan lorong itu untuk kegunaan tapak peniagaan pasar malam dan bazaar Ramadhan.
“DBKL akan memastikan Lorong TAR dan Lorong Gombak dikosongkan sepenuhnya dari penjaja dan halangan. Ia bertujuan untuk membolehkan kerja-kerja pemunggahan dan penghantaran bekalan dapat berjalan seperti biasa.
“Para penjaja yang sah di kawasan terlibat akan dipindah ke kawasan lain di sekitar Jalan TAR selepas kios-kios dibina untuk kegunaan mereka.
“Dalam usaha membersihkan Lorong TAR, maka Pasar Malam dan Bazaar Ramadhan di situ akan dipindahkan ke lokasi baru yang akan diumumkan selepas ini,” katanya menerusi kenyataan.
Selain itu, beliau berkata, Jalan Tuanku Abdul Rahman akan ditutup kepada semua kenderaan persendirian setiap Sabtu dan Ahad mulai 1 April.
Tambahnya, penutupan jalan ini adalah langkah percubaan sebelum jalan tersebut digunakan hanya untuk pejalan kaki sahaja.
Menurutnya hanya bas, teksi, bomba, ambulans, polis serta kenderaan penguatkuasa akan dibenarkan menggunakan jalan tersebut dalam tempoh sebulan.
“DBKL berhasrat menjadikan Jalan TAR sebagai kawasan pejalan kaki. Hasrat ini sebahagian dari projek River of Life. Kawasan yang terlibat sebagai kawasan pejalan kaki tersebut adalah bermula dari Jalan Isfahan bersebalahan Sogo sehingga Jalan Melayu,” katanya. – MalaysiaGazette