KUALA LUMPUR – Tindakan mengusir penduduk PPR Taman Manggis bukti kerajaan Pulau Pinang gagal membina perumahan rakyat yang mencukupi walaupun sudah 10 tahun mentadbir.
Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) Taman Manggis fasa pertama sebanyak 320 unit rumah PPR diluluskan pada tahun 2002 semasa kerajaan Barisan Nasional (BN) dan siap dibina pada tahun 2006.
Pada tahun 2003, kerajaan BN telah meluluskan untuk membina 272 unit lagi untuk fasa 2 di atas tapak tanah bersebelahan dengan fasa 1.
Tetapi kata Datuk Seri Najib Razak, selepas kerajaan DAP mengambil alih pada tahun 2008, fasa 2 PPR ini dihentikan.
Dakwa bekas perdana menteri itu, tanah fasa 2 itu dijual pula kepada pihak swasta pada tahun 2010 dengan harga RM11.5 juta atau RM232 satu kaki persegi.
Katanya, harga yang ditawarkan oleh kerajaan negeri itu murah memandangkan tanah ini berhadapan dengan Jalan Burma yang merupakan salah satu jalan utama.
“Pembeli tanah itu ialah boss kepada penjual rumah banglo murah kontroversi kepada Ketua Menteri Pulau Pinang.
“Pada masa itu, Ketua Menteri Pulau Pinang berkata, bahawa penjualan tanah ini ialah untuk merancakkan industri “medical tourism” untuk negeri itu dan kononnya bagi menjana peluang pekerjaan.
“Selepas itu, kerajaan DAP pula meluluskan pembinaan sebuah bangunan tinggi dengan 6 tingkat pusat perubatan dan 19 tingkat hotel lengkap dengan kolam renang di atas tapak yang sebelum itu diluluskan bagi pembinaan rumah PPR,” ujarnya dalam hantaran terbaharu di Facebook.
Semasa dijual, surat tawaran tahun 2010 untuk menjual tanah itu kepada pihak swasta mengandungi syarat yang nyata bahawa pusat perubatan dan hotel itu perlu siap dibina di dalam tempoh tiga tahun dari tarikh surat.
“Tetapi apa yang saya diberitahu ialah sehingga hari ini – iaitu 9 tahun selepas tanah itu dijual, tidak ada sebarang kerja pembinaan telah bermula di tapak itu – jelas melanggar syarat penjualan.
“Kini, tanah itu sangat berharga dan pada tahun 2016, beberapa perjanjian sulit telah terbongkar bahawa ada usaha untuk menjual tanah tersebut dengan harga antara RM48 juta sehingga RM70 juta berbanding harga pembelian RM11.5 juta,” ujarnya sambil menyindir siapa yang untung berpuluh juta.
Dakwa Ahli Parlimen Pekan itu, sudah menjadi sikap Lim Guan Eng sejak dahulu suka menjual aset dan hak tanah kerajaan.
Menurut Najib, berpuluh bilion ringgit nilai dan hak tanah telah dijual atau ditukar dalam masa 10 tahun sejak Guan Eng menjadi Ketua Menteri Pulau Pinang.
“Siapa sebenarnya jual negara?,” soal Najib. – MalaysiaGazette