KUALA LUMPUR – Pesawat Boeing 737 Max 8 tidak dibenarkan melalui ruang udara Malaysia atau melakukan penerbangan transit ke negara ini.
Larangan itu berkuatkuasa serta-merta.
Ketua Pegawai Eksekutif, Pihak Berkuasa Penerbangan Malaysia (CAAM), Ahmad Nizar Zolfakar berkata, arahan penggantungan operasi pesawat Boeing itu dilaksanakan sehingga notis selanjutnya dikeluarkan.
“CAAM menggantung operasi pesawat Boeing 737 Max 8 daripada melalui ruang udara Malaysia atau dari negara ini, juga melakukan penerbangan transit dari Malaysia sehingga notis selanjutnya,” katanya.
Tindakan itu susulan dua kemalangan membabitkan pesawat berkenaan dalam tempoh lima bulan.
Tegas beliau, Malaysia tidak mempunyai sebarang syarikat penerbangan yang beroperasi menggunakan Boeing 737 Max 8.
Dalam kejadian Ahad lalu, pesawat Boeing 737 Max 8 milik Ethiopian Airlines yang dalam penerbangan ke Nairobi terhempas dan mengorbankan 157 orang penumpang.
Nahas itu berlaku ketika ia baharu sahaja berlepas dari Addis Ababa.
Pada tahun lalu, pesawat berkenaan milik Lion Air terhempas di perairan Indonesia, mengorbankan 189 nyawa.
Australia, Korea Selatan, China, Afrika Selatan Kesatuan Eropah dan Brazil juga telah mengambil langkah sama dengan mengharamkan semua pesawat Boeing model itu melalui ruang udara masing-masing. – MalaysiaGazette