KUALA LUMPUR – Kerajaan belum lagi menemui mekanisme terbaik sehingga kini bagi pelaksanaan sistem kad khas dalam menyalurkan subsidi petrol secara bersasar ketika ini walaupun sudah dijanjikan akan dilaksanakan bermula suku kedua tahun hadapan.
Sehingga kini Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) bersama Kementerian Kewangan masih meneliti mekanisme paling baik secara keseluruhan bagi pelaksanaan subsidi bersasar itu.
“Mekanisme bagaimana kita hendak laksanakan inisiatif ini belum lagi dimuktamadkan. MOF telah membuka tender kepada mana-mana pihak yang boleh memberi cadangan terbaik untuk melaksanakan subsidi petrol bersasar itu.
“Kita masih dalam penelitian cadangan, kedua-dua kementerian belum membuat apa-apa keputusan berhubung pelaksanaan ini. Sampai hari ini, kita belum ada mekanisme muktmad berhubung subsidi ini.
“Kita tentu akan ada, saya beri jaminan kita sebenarnya memang mengambil berat tentang masalah rakyat khasnya yang di kawasan pedalaman dan juga luar bandar,” kata Timbalan Menteri di KPDNHEP, Chong Chieng Jen ketika sesi soalan lisan di Dewan Rakyat sebentar tadi.
Beliau menjawab soalan Ahli Parlimen Jempol (BN), Datuk Salim Sharif yang mahu kerajaan menyatakan keberkesanan mekanisme baru mengurangkan kos sara hidup rakyat melalui subsidi petrol RON95 secara bersasar.
Salim juga menegur Timbalan Menteri untuk lebih serius dan menjawab soalan yang dilontarkan itu dengan lebih baik kerana merasakan jawapan itu tidak begitu memuaskan serta tepat.
“Bagaimana subsidi dapat dimanfaatkan di kasawan yang tiada stesen minyak? Adakah minyak ini di tukar kepada subsidi makanan?
“Ini tidak dijawab, jawab dengan tepatlah. Kedua, apakah kriteria yang telah diambil membolehkan seseorang itu layak contohnya jika ada kereta dan motorsikal, adakah kedua-dua dapat?
“Ketiga, adakah kad petrol ini dapat digunakan seluruh negara?” soalnya sekali lagi.
Sebelum ini, kerajaan mengumumkan golongan B40 diberi keutamaan menikmati subsidi 30 sen yang akan dilaksanakan bermula suku kedua tahun hadapan ketika pembentangan Belanjawan 2019 tahun lepas.
Selain pemilik kereta berkapasiti enjin 1,500 cc, pemilik motosikal berkapasiti enjin 125cc akan menikmati subsidi RON95 30 sen seliter.
Menerusi mekanisme subsidi itu, pemilik kereta akan menerima subsidi petrol RON95 terhad kepada 100 liter dan 40 liter bagi motosikal.
Sejumlah RM2 bilion diperuntukkan dan dijangka memanfaatkan empat juta pemilik kereta serta 2.6 juta pemilik motosikal. –MalaysiaGazette