PETALING JAYA – Pertumbuhan ekonomi dan perbandaran kini meningkatkan permintaan ke atas makanan di Afrika, sekali gus benua itu berpotensi menjadi pasaran baharu bagi pengeksport minyak sawit Malaysia, kata Pengasas dan Pengarah Global Farm Trade, Sandeep Singh.
Beliau berkata, penduduk di benua itu dijangkakan meningkat menjelang 2030, dan Afrika akan mengalahkan India dengan menjadi pengguna kedua terbesar minyak sawit dunia selepas China.
“Mereka semakin dekat (mencapai tahap itu) memandangkan tidak ada ladang sawit utama di sana. Kita ada kelebihan untuk menembusi pasaran ini dan mempromosi ‘minyak serba guna’ ini menerusi usaha sama dengan menjadikan Togo, sebagai contoh, sebagai pintu masuk strategik ke Afrika Barat ,” katanya dalam pembentangan pada forum pasaran yang dihoskan oleh Majlis Minyak Sawit Malaysia (MPOC) di sini hari ini.
Forum setengah hari yang bertajuk ‘Memerangi Cabaran, Mengoptimumkan Peluang’, itu bermatlamat untuk membantu ahli industri mendapatkan pemahaman yang lebih baik mengenai pelbagai perkembangan yang memberi kesan kepada eksport minyak sawit.
Sandeep berkata import minyak sawit kini sebahagian besarnya adalah dari Togo dan Benin, berikutan duti importnya yang lebih rendah.
“Ia dekat dengan pasaran besar seperti Nigeria, Ghana, Ivory Coast, Burkina Faso dan Niger, yang membentuk sebahagian besar daripada permintaan serantau”.
Sementara itu, Perunding Perladangan dan Pengarah Ganling Sdn Bhd Ling Ah Hong berkata pengeluaran minyak sawit mentah tahun ini tidak akan berkurangan, dan akan memberi impak ke atas harga komoditi itu.
“Stok perlu diturunkan kepada 2.4 juta tan daripada 3.05 juta tan pada masa ini, suatu angka yang masih tinggi di atas garis trend.
“Kami menjangkakan stok akan menyederhana pada separuh pertama 2019 berikutan permintaan yang lebih baik dan pengeluaran yang lebih rendah secara bermusim,” katanya.
Ling berkata, kemunculan fenomena cuaca El Nino dijangkakan lemah dan terlalu lewat untuk menjejaskan pengeluaran minyak sawit pada 2019, dengan keadaan cuaca yang baik dalam tempoh 24 bulan lepas akan menjadi kondusif untuk pertumbuhan minyak sawit dan bekalan.
Beliau mengunjurkan pengeluaran Malaysia akan mencecah 20.2 juta tan tahun ini (meningkat 3.5 peratus) manakala pengeluaran Indonesia mencapai 42.4 juta tan (+7 peratus).
Mengenai harga MSM pada masa depan, beliau berkata ia dijangkakan tidak banyak berubah antara RM2,000 setan dan RM2,500 setan dan mungkin menjadi tidak menentu, didorong terutama oleh berita berkaitan permintaan seperti penggunaan biodiesel dan belian oleh pengimport utama seperti China dan India. – MalaysiaGazette