Home Nasional Mujahid, Zakir Naik bincang 3 gagasan Islam

Mujahid, Zakir Naik bincang 3 gagasan Islam

Datuk Seri Mujahid Yusof Rawa (kiri) mengadakan pertemuan dengan Dr. Zakir Naik.

KUALA LUMPUR – Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mujahid Yusof Rawa hari ini mengadakan pertemuan dengan pendakwah bebas, Dr. Zakir Naik.

Pertemuan yang diadakan di Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan itu berlangsung selama satu jam.

Mujahid berkata, antara yang dibincang dalam pertemuan itu ialah tiga gagasan Islam yang dibawa kerajaan sekarang iaitu Rahmatan Lil Alamin, Maqasid Syariah dan Model Malaysia.

Selain itu, penyebaran berita palsu turut disentuh dalam pertemuan tersebut, katanya dalam kenyataan.

Sebelum ini, Mujahid menyifatkan ceramah Dr. Zakir merendah atau menghina agama lain dan ia tidak sesuai dengan Malaysia yang bertunjangkan kepelbagaian kaum dan etnik.

Ketika menyampaikan ucapan pada Seminar Kebangsaan Isu dan Cabaran dalam Hubungan Masyarakat Majmuk pada September tahun lalu, Mujahid berkata, beliau merasakan kaedah penyampaian atau dakwah Dr Zakir tidak sesuai yang mana Malaysia tidak perlukan kaedah perdebatan yang mencaci agama lain, sebaliknya masyarakat di negara ini lebih sesuai dengan kaedah berdialog.

Sementara itu, Mujahid menyifatkan pertemuan dengan Dr Zakir Naik penuh mahabbah.

“Pengalaman dakwah beliau ke seluruh pelusuk dunia menjadi inspirasi buat kita untuk meneruskan kerja-kerja dakwah.

“Semoga Allah SWT memperteguh usaha dakwah beliau untuk membimbing manusia mengenali Islam,” katanya dalam laman Facebook beliau. – MalaysiaGazette