KUALA LUMPUR – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menafikan dakwaan pihaknya lambat bertindak dalam isu pencemaran kimia di Pasir Gudang, Johor.
Menterinya, Datuk Dr. Dzulkefley Ahmad berkata, pihaknya mengambil langkah awal sejak berlaku insiden itu khususnya dari aspek perubatan.
“KKM bertindak sejak hari pertama lagi. Saya menghubungi Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) sejak hari pertama dan telah beri rawatan sejak kes, baik yang serius mahu pun yang ringan.
“Ada yang kami masuk untuk pemerhatian, jadi isu KKM bertindak lewat memang tidak benar sama sekali,” tambahnya pada sidang media di lobi Parlimen hari ini.
Sejak insiden pencemaran Sungai Kim Kim Pasir Gudang berlaku pada 7 Mac yang lalu, ramai individu menularkan beberapa kenyataan bercanggah di laman sosial.
Malah ada yang mendakwa terdapat meninggal dunia, selain mendakwa pengarah hospital mengisytiharkan red alert.
Ada juga yang mendakwa kerajaan negeri Johor bertindak lambat menangani isu oencemaran tersebut.
Dzulkefley juga mahu orang ramai dinasihatkan supaya menjauhi sekurang-kurangnya lima kilometer daripada kawasan yang terkesan akibat pencemaran kimia.
Menurut Dzulkeflly, ini kerana jarak itu dibimbangi akan memberikan kesan terhadap orang awam.
Dalam masa yang sama beliau menasihatkan individu yang mengalami gejala awal keracunan seperti pedih mata, pening, muntah dan sesak nafas segera mendapatkan rawatan.
“Nasihat pencegahan adalah orang ramai menjauhi kawasan khususnya di lima kilometer (paling bahaya) dari Sungai Kim Kim yang kita kenalpasti dan elak masuk ke kawasan itu.
“Dapatkan maklumat terkini dari sumber yang sahih dan fasilti terdekat jika terdapat gejala pedih mata, pening, muntah, sesak nafas sehinggakan pengsan jadi kesemua ini kami memahami gejala toksik kesan keracunan itu,” katanya.- MalaysiaGazette