Home Politik Kerjasama Pas-UMNO menggerunkan DAP

Kerjasama Pas-UMNO menggerunkan DAP

Muhammad Khalil Abdul Hadi.
Muhammad Khalil Abdul Hadi

KUALA LUMPUR – Bermula saja sidang Dewan Rakyat Isnin lalu, Pas sekali lagi menjadi mangsa fitnah musuh politiknya.

Agak menghairankan, kenapa Pas yang hanya mempunyai sebanyak 18 kerusi Parlimen menjadi tumpuan dan sasaran serangan bertubi-tubi oleh Ahli Parlimen Pakatan harapan (PH) terutama DAP.

Menurut Ketua Dewan Pemuda Pas Malaysia (DPPM), Muhammad Khalil Abdul Hadi, serangan pertama ke atas Pas bermula dengan Ahli Parlimen Johor Bahru, Akmal Nasir.

Katanya, pemimpin PKR itu didapati tenggelam punca dengan menuduh Pas tanpa fakta, tetapi akhirnya terpaksa pula menarik balik kenyataan beliau.

Jelas beliau, kerjasama Pas–UMNO sudah dimomok dan dijual kepada umum menjadi kesalahan besar sebagai pemecah belah perpaduan rakyat dan membawa kerosakan sebagaimana Taliban di Afghanistan.

“Ini semua karut, dusta dan fitnah semata-mata. Pas termasuk mana-mana pimpinannya belum pernah zalim, kejam dan bersikap tidak adil kepada orang bukan Islam sejak dari penubuhannya.

“Sejak 29 tahun Pas memerintah Kelantan, belum pernah Pas zalim dan tindas orang bukan Islam. Tidak pernah pula dihalau orang bukan Islam, malah salah satu patung Buddha terbesar di Asia Tenggara terletak di Kelantan,” katanya dalam kenyataan kepada media di sini, hari ini.

Menurut Muhammad Khalil, begitu juga ketika Pas memerintah Kedah termasuk Terengganu, tiada langsung bukti parti itu pernah berlaku sedemikian apatah lagi menghampiri cara Taliban.

“Semuanya fitnah!

“Dan “Taliban” ini yang bersedia mengorbankan nyawa membantu penduduk Pasir Gudang yang terlibat dengan bencana pencemaran bahan kimia di Sungai Kim Kim.

“Parti yang kononnya baik seperti DAP tidak pula berani menjejakkan kaki ke tempatan kejadian untuk menolong pihak berkuasa menangani kes berkenaan,” katanya.

Kata Muhammad Khalil, kenyataan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng dan pemimpin kanan DAP Perak, Nga Kor Meng sebenarnya satu dakwaan yang cukup bahaya kepada perpaduan kaum dan perlu disiasat.

Apa yang Pas buat pada DAP sehingga dituduh kerjasama parti itu dengan UMNO membahayakan orang bukan Islam dan umpama Taliban?

“Cukuplah hendak tipu rakyat kerana rakyat majoritnya masih lagi berasa tertipu kerana banyak janji sudah u-turn. Jangan pandang rendah mentaliti dan kebijaksaan rakyat,” katanya.

Beliau menegaskan, sebenarnya DAP hipokrit, tetapi terpaksa menutup perangai mereka dengan menuduh Pas begitu.

“Apa yang DAP tidak pernah kata kepada Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad dan Datuk Seri Mukhriz Mahathir dahulu, begitu juga dengan pimpinan Parti Amanah Negara (PAN).

“Apa yang pimpinan PKR tidak pernah kata pada Dr. Mahahtir dahulu, segala macam tuduhan dilempar termasuk menggelar Pengerusi PPBM itu dengan macam-macam gelaran.

“Sudah dituduh macam-macam sekarang kerjasama pula, itu tidak masuk lagi hendak siasat Dr. Mahathir macam-macam. Itu nak panggil apa pula?” soal beliau.

Beliau menyatakan, jika Pas rasis dan perkauman atau umpama Taliban, sudah tentu pimpinan Dewan Himpunan Penyokong Pas (DHPP) sudah lari dari parti itu.

Sudah tentu, katanya, orang bukan Islam di Kelantan dan Terengganu juga sudah lari.

Muhammad Khalil turut mengucapkan terima kasih kepada Timbalan Presiden MIC, Datuk M. Saravanan kerana sedar dan faham akan niat kerjasama Pas-UMNO.

Katanya, Pas juga berharap MCA sedemikian dan tidak perlu takut dengan bayang DAP kerana mereka bukan mewakili kaum Cina.

Ujar beliau, sebelum pimpinan DAP secara sembrono menuduh kerjasama Pas-UMNO bukan-bukan, cabaran Pas belum lagi terjawab.

“Hingga saat ini CEC DAP senyap sunyi, masih lagi tidak menyatakan sokongan penuh terhadap Dr. Mahathir sebagai Perdana Menteri.

“Jika Majlis Pimpinan PKR boleh buat, mengapa tidak DAP atau adakah DAP takut? Seeloknya MP Jelutong, RSN Rayer ajak CEC DAP kesemuanya menyatakan sokongan secara terbuka kepada Dr. Mahathir sebagai Perdana Menteri.

“Jangan cakap saja berdegar-degar di Parlimen, sahut cabaran pun tidak berani,” ujarnya. – MalaysiaGazette

1 Komen

  1. la, betul ke isu takut & gerun?

    ape isu Ketuanan UMGOK + PAS vs Ketuanan PH?

    Negara kini menghadapi pentempuran ketuanan.

    Platform Politik di gunakan utk memperkukuhkan segala bentuk kemungkinan.

Comments are closed.