Home Politik 6 bekas wakil rakyat UMNO kini sah ahli PPBM

6 bekas wakil rakyat UMNO kini sah ahli PPBM

Pengerusi PPBM, Tun Dr Mahathir Mohamad mengumumkan penyertaan 6 bekas wakil rakyat UMNO ke dalam PPBM di Yayasan Kepimpinan Perdana, Putrajaya, hari ini.

PUTRAJAYA – Selepas UMNO Sabah mengumumkan keluar parti pada Disember lalu, hari ini enam bekas wakil rakyatnya secara rasmi diterima untuk menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM).

Enam daripada bekas wakil rakyat UMNO itu terdiri daripada dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan empat ahli Parlimen Sabah.

Penyertaan bekas pemimpin UMNO ke dalam PPBM, dua daripadanya merupakan ADUN Sulaman, Datuk Hajiji Mohd. Noor dan ADUN Karanaan, Datuk Seri Masidi Manjun.

Manakala empat ahli Parlimen itu adalah Datuk Zakaria Mohd Edris (Libaran), Datuk Seri Ronald Kiandee (Beluran), Datuk Azizah Mohd. Dun (Beaufort) dan Datuk Abdul Rahim Bakri (Kudat).

Selain ADUN dan ahli Parlimen, hari ini turut menyaksikan dua bekas Senator UMNO menyertai PPBM iaitu Datuk Abdul Ghani Mohamed Yassin (bekas Ketua UMNO Bahagian Pensiangan) dan Datuk John Ambrose (bekas Ketua UMNO Penampang).

Keenam-enam mereka bakal menerima kad keahlian PPBM daripada Pengerusinya, Tun Dr. Mahathir Mohamad sendiri dalam satu majlis di Yayasan Kepimpinan Perdana (YKP), di sini, hari ini.

Baki beberapa bekas wakil rakyat UMNO Sabah pula akan menyertai PPBM pada 6 April ini ketika pelancaran parti berkenaan di Kota Kinabalu.

Februari lalu, Dr. Mahathir mengumumkan PPBM akan melebarkan sayapnya di Sabah.

Dr. Mahathir berkata, keputusan itu dibuat dengan mengambil kira keperluan rakyat Sabah yang ingin menyertai PPBM selain Parti Warisan Sabah (Warisan). – MalaysiaGazette