ADDIS ABABA – Pesawat 302 Ethiopian Airlines yang terhempas baru-baru ini telah mengalami kelajuan luar biasa selepas berlepas sebelum ia dilaporkan mengalami masalah dan meminta kebenaran untuk terbang lebih tinggi dengan cepat.
Rakaman suara dari kokpit pesawat Boeing 737 Max 8 itu meminta untuk terbang kepada 14,000 kaki dari aras laut kira-kira 6,400 kaki dari lapangan terbang sebelum meminta untuk berpatah balik.
Pesawat itu kemudian hilang dari radar ketika berada pada ketinggian 10,800 kaki.
“Dia (juruterbang) kata dia berdepan dengan masalah kawalan pesawat. Sebab itu dia mahu terbang lebih tinggi,” kata sumber yang mendengar rakaman itu.
Katanya lagi, suara juruterbang itu berbunyi cemas.
Pakar-pakar berkata, juruterbang akan meminta untuk terbang lebih tinggi jika menghadapi masalah bagi mendapat margin bagi mengelakkan kesukaran.
Addis Ababa dikelilingi bukit dan di bahagian utara pula ada Gunung Entoto.
Pesawat itu telah ditetapkan mengikut Pelepasan Standard Instrumen (SID) dari lapangan terbang dan kemudian mematuhi prosedur standard dengan membuat panggilan pertama selepas berlepas, menurut sumber. Semuanya kelihatan normal.
Selepas satu atau dua minit, suara kawalan trafik udara meminta pesawat untuk kekal berada pada kedudukan sama di landasan dan terbang lebih tinggi kepada 14,000 kaki.
Kelajuan pesawat selepas berlepas adalah luar biasa tinggi, memcecah sekitar 400 knot berbanding 200 hingga 250 knot.
Tidak lebih dari dua minit pengawal trafik udara berkomunikasi dengan pesawat lain apabila suara dari pesawat Ethiopian Airlines menyampuk dan berkata: “brek, brek”. Suara itu kedengaran ketakutan.
“Dia meminta untuk berpatah balik dan pengawal trafik udara membenarkannya untuk membelok ke kanan kerana di kiri adalah bandar.
“Mungkin satu minit selepas itu, ia hilang dari radar,” ujar sumber.
Selepas mula membelok, pesawat hilang dari radar pada ketinggian 10,800 kaki atas laut – paras tertinggi yang dicapai dalam tempoh enam minit penerbangan. – MalaysiaGazette