Home Politik Pas putus hubungan dengan pihak memusuhi Islam

Pas putus hubungan dengan pihak memusuhi Islam

Abdul Hadi Awang
Abdul Hadi Awang

KUALA LUMPUR – Pas membatalkan hubungan dengan pihak yang menunjukkan permusuhan terhadap Islam.

Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, keputusan itu juga melibatkan parti yang mencabar kepimpinan Islam seperti DAP.

Katanya, hubungan parti itu turut dibatalkan dengan mana-mana pemimpin dan ahli Pas yang meninggalkan perjuangan parti.

“Mereka yang meletakkan perjuangannya di atas konsep yang salah dan sesat serta tidak istiqamah bersama Islam, kita akan batalkan hubungan ini.

“Golongan yang melarikan diri daripada perjuangan Islam dan menunjukkan sikap wala’nya kepada mereka yang nyata bermusuh terhadap Islam serta umatnya juga turut tidak mempunyai apa-apa hubungan dengan Pas lagi,” katanya dalam coretan Minda Presiden, semalam.

Menurut Abdul Hadi, Pas tidak mahu ada hubungan dengan parti dan pihak yang mahu mendapat kuasa dan kedudukan dengan cepat sehingga segala matlamat menghalalkan segala caranya.

Pas telah memutuskan hubungan dengan DAP pada Jun 2015 dan dua tahun kemudian keluar dari Pakatan Rakyat (PR).

Sejak itu, Pas tidak pernah sunyi dari ‘serangan’ DAP dan rakan pakatannya seperti PKR, Parti Amanah Negara (PAN) dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM).

‘Serangan’ makin serius terhadap Pas selepas parti itu mengumumkan kerjasama dengan UMNO akhir Februari lalu, menyebabkan parti Pakatan Harapan (PH) tidak senang duduk, lebih lagi DAP. – MalaysiaGazette